suria

Permohonan Anwar Mengenai Bersih 3.0 Patut Dibuat Di Mahkamah Majistret - Pendakwaan

KUALA LUMPUR: Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kesahihan perintah larangan yang dikeluarkan majistret berhubung perhimpunan Bersih 3.0 seharusnya dibuat di Mahkamah Majistret, bukannya Mahkamah Sesyen, kata Timbalan Pendakwa raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Dalam bantahan awal terhadap permohonan itu, beliau memberitahu Hakim Mahmud Abdullah bahawa permohonan Anwar adalah permohonan jenayah, dan Mahkamah Sesyen tidak mempunyai kuasa untuk mengetepi atau membatalkan perintah yang dikeluarkan mahkamah lebih rendah (Majistret).

"Mahkamah Sesyen tidak diperuntukkan undang-undang atau peraturan mahkamah untuk berbuat demikian.

"Wajar bagi mahkamah ini untuk membatalkan permohonan Anwar atas alasan ketiadaan bidang kuasa mahkamah ini untuk mendengar permohonan itu," kata Mohamad Hanafiah.

Beliau juga berhujah mengikut Akta Mahkamah Rendah 1948, Mahkamah Sesyen tidak mempunyai kuasa sedia ada untuk menjalankan kuasa rayuan atau semakan.

Mohamad Hanafiah menegaskan bahawa permohonan itu seharusnya dibuat di Mahkamah Majistret di mana perintah itu dikeluarkan atau di hadapan Mahkamah Majistret lain.

Hakim Mahmud menetapkan 21 November untuk pihak pemohon (Anwar) yang diwakili peguam Ram Karpal Singh untuk membalas hujahan pihak responden.

Sementara itu, satu lagi permohonan Anwar mengenai isu perundangan berkaitan tiga pertuduhan yang dihadapinya akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 23 November.

Pada 28 Mei lalu, Anwar memfail bantahan terhadap perintah yang dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April dan 1 Mei 2012.

Beliau membuat permohonan itu atas alasan perintah itu tidak betul dan tidak sah.

Pada 22 Mei lalu, Anwar, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali, 48, dan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Rembau, Badrul Hisham Shaharin, 34, dituduh mengambil bahagian dalam protes jalanan yang mencetuskan huru-hara di ibu negara.

Ketiga-tiga mereka juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim dengan menghasut mereka membuka sekatan besi di Jalan Raja, di sini, pada hari sama.

Mereka merupakan kumpulan pertama didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000.

Pada 2 Julai lalu, ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan ketiga iaitu bersubahat dengan Tangam, Rajesh dan Farhan bersama penyokong 'Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 3.0)' yang melebihi lima orang untuk menentang perintah Mahkamah Majistret bertarikh 26 April yang melarang perhimpunan diadakan di kawasan Dataran Merdeka dari 28 April hingga 1 Mei lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain