suria

Pemandu Trak Tunda Dipenjara Enam Tahun Cuba Bunuh Ketua Pemuda Umno Kepong

AMPANG: Seorang pemandu trak tunda dijatuhkan hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis kerana cubaan membunuh Ketua Pemuda Umno Kepong, Datuk Norizan Ali.

Hakim, Manira Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azril Ab Shukur, 28, yang mengaku bersalah mencederakan Norizan, 41, menggunakan sebilah parang, menyebabkan kecederaan pada lengan, perut dan badan.

Mohd Azril didakwa bersama-bersama dengan ‘bouncer’, Mohd Haswan Hashim, 22, yang melakukan kesalahan itu di hadapan rumah mangsa di sepanjang Jalan Cahaya 2, di sini pada pukul 2.30 pagi pada 24 September.

Bagaimanapun, Mohd Haswan mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas tuduhan itu.

Di bawah seksyen 307(1) kanun keseksaan, Mohd Haswan berhadapan dengan hukuman penjara maksium 20 tahun, denda atau sebat sekiranya disabitkan kesalahan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam.

Menurut fakta kes, Mohd Azril memandu ke Taman Dagang, Ampang bersama rakan bersubahatnya dan menunggu Norizan pulang ke rumah.

Ketika mangsa pulang dan keluar dari kenderaan, Mohd Azril datang ke arah belakangnya dan memukul Norizan di kepala dengan hulu parang.

Mohd Azril terus menendang dan mengelar mangsa selama beberapa minit sebelum Norizan berjaya melarikan diri dan masuk ke rumahnya bagi meminta bantuan.

Norizan kemudian dibawa ke Hospital Ampang, di mana beliau telah dirawat di unit rawatan kecemasan selama enam hari.

Laporan doktor menyatakan bahawa Norizan mengalami luka dalaman pada usus, hati dan perut, manakala kecederaan pada tisu dan saraf pada tangan dan lengannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuni memohon mahkamah supaya tidak memberi ikat jamin untuk Mohd Haswan memandangkan dia dituduh dalam jenayah yang serius melibatkan senjata.

Beliau berkata, mangsa mengalami trauma dengan kejadian itu.

Mahkamah menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan kes seterusnya melibatkan Mohd Haswan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain