suria

Malaysia Dan Thailand Fokus Pengedar Dadah Wanita

GEORGE TOWN: Malaysia dan Thailand terus komited meningkatkan kerjasama serantau dalam usaha menyekat sindiket pengedaran dadah yang kini turut disertai golongan wanita.

Pengarah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya mendapati golongan wanita kini bukan lagi dijadikan keldai dadah sebaliknya penglibatan mereka atas kehendak mereka sendiri.

"Mungkin selama ini pihak polis banyak memberi fokus kepada golongan lelaki, sebab itu wanita mengambil peluang untuk terlibat sama (mengedar dadah).

"Ini bukan fenomena baharu dan kebanyakan mereka terlibat atas kehendak sendiri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat kerjasama dua hala Malaysia-Thailand kali ke-35 di sini, Khamis.

Thailand diwakili Timbalan Ketua Setiausaha Lembaga Kawalan Dadah Thailand Sukhum Opasniputh.

Noor Rashid berkata berdasarkan statistik 2011, bilangan rakyat Malaysia yang terlibat dengan kes dadah dan ditangkap di Thailand adalah 17 lelaki dan seorang wanita, bagaimanapun sehingga Oktober tahun ini bilangan lelaki Malaysia yang ditangkap di Thailand seramai 30 orang dan wanita tujuh.

Bagi kes rakyat Thailand yang terlibat kes dadah dan ditangkap di Malaysia pada tahun 2011 ialah seramai 208 lelaki dan 66 orang wanita, manakala sehingga September tahun ini bilangan lelaki Thailand yang di tangkap ialah 145 lelaki dan 74 orang wanita.

"Daripada statistik yang diperolehi menunjukkan bahawa memang berlaku peningkatan penglibatan golongan wanita dalam sindiket dadah," katanya.

Sementara itu Noor Rashid berkata menerusi mesyuarat tiga hari yang bermula semalam, kedua-dua negara akan membincangkan langkah proaktif dalam usaha mengekang penyeludupan dadah.

"Malaysia dan Thailand menghadapi masalah yang sama iaitu dadah dibawa masuk dari negara lain dan menjadikan kita (Malaysia-Thailand) sebagai transit, perkara ini sangat membimbangkan kedua-dua negara.

"Jadi mesyuarat kali ini lebih fokus kepada usaha mengetatkan kawalan kemasukan dadah dari semua laluan dengan negara jiran terutama yang melibatkan wanita sebagai ejen pengedaran," katanya.

Noor Rashid juga berpuas hati dengan kerjasama yang terjalin sejak sekian lama kerana banyak kes pengedaran dadah di kedua-dua negara berjaya ditangani sehingga ke peringkat akar umbi.

"Sebagai contoh, bila polis Thailand berjaya menahan rakyat Malaysia yang menyeludup dadah ke negara berkenaan, mereka (polis) akan memaklumkan segala maklumat yang diperolehi kepada polis di Malaysia dan kita segera bertindak, begitu juga sebaliknya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain