suria

Kerajaan Tak Cadang Mansuh Hukuman Penjara Seumur Hidup

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang memansuh hukuman penjara seumur hayat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, mengikut Peraturan 113 Peraturan Penjara 2000, setiap banduan yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hayat diberi hak untuk mengemukakan rayuan atau petisyen kepada Lembaga Pengampunan Negeri.

Katanya, di bawah Peraturan 54, Jabatan Penjara juga akan menyediakan Laporan Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali bagi setiap banduan seumur hayat.

"Rayuan dan laporan itu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan Negeri mengikut tempoh yang ditetapkan untuk pertimbangan lanjut berhubung hukuman banduan berkenaan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pada sidang Dewan Rakyat, Khamis.

Karpal meminta kerajaan menyatakan berapa banyak banduan dalam negara yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hayat dan adakah kerajaan bersedia untuk memansuhkan hukuman itu.

Hishammuddin berkata, berdasarkan statistik Jabatan Penjara sehingga 10 September lalu, terdapat 81 banduan seumur hayat sedang menjalani hukuman di penjara.

Beliau berkata, mereka terbabit dengan pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain