suria

Empat Lelaki Didakwa Curi 1,407 Telefon Pintar

SEPANG: Seramai empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana bersubahat mencuri 1,407 unit telefon pintar Samsung Galaxy Note II pada bulan lepas.

N. Selvakumar, 32, J. Aravindan, 29, J. Pratib, 22, dan A. Atimulam, kemudian mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibaca oleh Hakim Sesyen, Ahmad Fairuz Mohd Puzi.

Keempat-empat mereka dituduh bersubahat mencuri gajet di sebuah bangunan daripada pemiliknya, Syarikat KGL Mobile bersama tiga yang lain, yang didakwa sebelum ini, di Pintu 37, Bahagian Kargo Import di sini pada kira-kira pukul 12.30 petang pada 20 Oktober.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama di bawah Seksyen 109 akta sama, yang membawa hukuman maksiumum penjara 10 tahun, atau denda sekiranya disabit kesalahan.

Sementara itu, Selvakumar dan Aravindan turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua dalam membantu untuk menjual sejumlah 80 unit telefon pintar dengan caramemindahkan gajet itu kepada K. Ugendra, 27, yang mengetahui bahawa ia adalah barangan curi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ctel Communication di pusat beli-belah Terminal One Seremban pada kira-kira pukul 9 malam pada 21 Oktober.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.

Bulan lepas, dua lelaki mengaku tidak bersalah kerana mencuri telefon pintar Samsung bernilai lebih RM2.2 juta daripada kawasan stor MAS Kargo di KLIA, manakala tujuh yang lain didakwa kerana memiliki dan menjual telefon.

Terdahulu, dilaporkan bahawa kumpulan yang menyamar sebagai wakil syarikat pengangkutan mengadakan rompakan di kawasan penyimpanan MAS Kargo pada 20 Oktober dan memuatkan telefon pintar itu di dalam sebuah lori, dipercayai telah dicuri di Brickfields, dua hari sebelum itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain