suria

Ulang Siar Rancangan Di Stesen Penyiar Berbayar Amalan Biasa - Joseph Salang

KUALA LUMPUR: Ulang siaran rancangan di stesen penyiar berbayar merupakan amalan biasa bagi semua penyedia perkhidmatan tersebut di dunia, Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata ulang siaran rancangan di stesen penyiar berbayar berlaku kerana beberapa faktor antaranya bagi memenuhi kehendak dan minat penonton.

"Selain itu faktor aspek penjadualan rancangan yang pelbagai untuk memastikan setiap rancangan dapat ditonton pelanggan pada masa yang dikehendaki mereka turut diambil kira," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) berkenaan tindakan stesen berbayar Astro yang sering menyiarkan rancangan berulang.

Mengenai soalan penyiaran iklan komersil yang semakin banyak di Astro pula Joseph berkata sepanjang suku pertama dan kedua 2012, Astro didapati tidak menyiarkannya melebihi jumlah masa yang ditetapkan.

"Syarat lesen Pemberi Prkhidmatan Aplikasi Kandungan (Individu) (CASPI) yang terpakai ke atas badan penyiar berhubung iklan komersil menghendaki para pemegang lesen untuk menghadkan penyiaran kandungan iklan komersil mengikut jumlah masa yang telah ditetapkan.

"Ketidakpatuhan para pemegang lesen terhadap syarat ini akan menyebabkan pelanggaran lesen yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini kementerian mengeluarkan 11 lesen CASPI kepada perkhidmatan stesen televisyen berbayar dengan tiga daripadanya telah beroperasi, satu pemegang lesen sedang dalam tempoh percubaan manakala tujuh lagi masih belum memulakan operasi.

"Dimaklumkan juga mana-mana pelabur yang berminat boleh memohon untuk mendapatkan lesen CASPI daripada kementerian ini," tambahnya. BERNAMA

Artikel Lain