suria

Setiausaha Sulit Shahrizat Terima SMS Daripada 'Datuk Sham'

KUALA LUMPUR: Setiausaha Sulit bekas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Roziyah Mohd Yusoff memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau menerima satu sistem pesanan ringkas (SMS) daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai 'Datuk Sham' pada pertengahan November tahun lepas.

Roziyah, 54, berkata ketika menerima SMS itu, beliau bersama Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berada di Madinah mengerjakan umrah.

"SMS tersebut menyatakan bahawa Datuk Sham diarahkan oleh 'pihak atas' untuk membantu suami Shahrizat.

"Selepas menerima beberapa kali SMS yang sama daripada orang yang sama, saya menasihatkan dan mendesak Shahrizat supaya menghubungi 'Datuk Sham' tersebut," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa.

Beliau merupakan saksi ke-16 pendakwaan pada perbicaraan kes Datuk Shamsubahrin Ismail yang berdepan 17 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, membabitkan sejumlah RM1.755 juta.

Shamsubahrin juga berdepan lima pertuduhan menipu bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail membabitkan jumlah sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Roziyah berkata setelah mendapat persetujuan Shahrizat, beliau terus menghubungi 'Datuk Sham' menggunakan telefon bimbitnya sebelum menyerahkan telefon itu kepada Shahrizat.

Beliau berkata antara perbualan yang didengar ketika Shahrizat bercakap dengan 'Datuk Sham' ialah "Datuk Sham, saya sudah jatuh ditimpa tangga, saya tidak kenal dan tidak tahu dari mana Datuk Sham datang."

Roziyah turut memberitahu mahkamah Shahrizat kelihatan sedih selepas menamatkan perbualan dengan 'Datuk Sham.'

Sementara itu, saksi ke-17, Hashimah Ahmad, bekas pengurus kewangan NFC, memberitahu mahkamah beliau bertanggungjawab membuat pengesahan terhadap setiap cek yang dikeluarkan syarikat.

Hashimah, 37, berkata pada 25 November 2011, pihak bank menghubunginya bagi mendapatkan pengesahan pembayaran cek RM255,000 yang dikeluarkan NFC.

"Selalunya, pihak bank akan mendapatkan pengesahan daripada saya berhubung sebarang pembayaran, tetapi dalam hal ini (cek RM255,000), saya tidak tahu pembayaran itu untuk apa, jadi saya minta pihak bank mendapatkan pengesahan daripada Salleh," katanya.

Hashimah berkata pada 29 November 2011, Salleh memintanya menyerahkan semua buku cek syarikat di bawah NFC kepada anaknya, Wan Shahinur Izmir.

Namun, katanya, pada 15 Disember 2011, apabila buku cek dikembalikan, beliau mendapati cek bernilai RM500,000 daripada National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd dan dua cek masing-masing bernilai RM300,000 dan RM700,000 daripada Syarikat Real Food Sdn Bhd telah dikeluarkan.

Kedua-duanya merupakan anak syarikat NFC. Perbicaraan di depan Hakim Rozilah Salleh bersambung Khamis ini. - BERNAMA

Artikel Lain