suria

Saya Aset, Bukan Liabiliti - Nazri

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin beliau bukan merupakan liabiliti politik kepada Barisan Nasional (BN) seperti yang didakwa Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah.

Sambil menyifatkan Azwanddin sebagai sebagai ahli politik jalanan, Mohamed Nazri turut mencabar bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan supaya bertanding di kerusi Parlimen Padang Rengas yang disandangnya.

"Saya cabar dia untuk bertanding di Padang Rengas. Kita tak tahu sama ada saya liabiliti atau tidak melaikan selepas bertanding dalam pilihan raya.

"Mari bertanding dengan saya dan biar rakyat buat keputusan," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Mohamed Nazri berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Azwanddin yang mengatakan bahawa beliau mungkin menjadi liabiliti politik kepada BN selepas pembangkang mendedahkan dakwaan yang mengaitkannya dalam isu membabitkan ahli perniagaan balak, Michael Chia.

Mengulas lanjut Mohamed Nazri berkata, pelbagai dakwaan yang dilemparkan pembangkang terhadapnya turut membuktikan kredibilitinya sebagai ahli politik.

"Jika saya hanya Ahli Parlimen biasa atau ahli Umno biasa yang tidak penting kepada parti adakah mereka akan serang saya?

"Jadi ia bermakna saya adalah aset kepada parti. Siapa yang serang saya...Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat. Jadi ia bermakna saya orang penting...saya adalah aset bukannya liabiliti," katanya.

Tegas Mohamed Nazri lagi beliau tidak akan melayan sebarang kenyataan Azwanddin berhubung kedudukannya dalam politik bersama Umno dan BN.

"Siapa dia? Saya tak perlu jawab kepada ahli politik jalanan. Saya akan lebih bimbang sekiranya presiden atau timbalan presiden atau setiausaha agung Umno yang membuat komen berkenaan.

"Sebelum ini beliau anggota PKR? Kemudian dia keluar...jadi dia adalah 'katak'. Jadi saya anggap kenyataannya sebagai tidak relevan," katanya.

Artikel Lain