suria

Muhyiddin Akan Diberi Anugerah Kepimpinan Di Forum WCEF Di Melbourne

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diberi Anugerah Kepimpinan Khas semasa Forum Ekonomi China Dunia ke-empat yang akan diadakan di Melbourne, Australia.

Forum dua hari itu, yang bermula 12 Nov, dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli).

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif WCEF Tan Sri Michael Yeoh berkata anugerah itu ialah bagi para pemimpin yang mengamalkan nilai Confusianisme di segi murah hati dan adil di dalam kepimpinan dan ia juga merupakan anugerah baharu yang diperkenalkan oleh Penaung WCEF Tan Sri Lee Kim Yew.

"WCEF berbesar hati bahawa Timbalan Perdana Menteri telah bersetuju menjadi penerima pertama Anugerah Khas ini bagi mengiktiraf kemurahan hati dan adil," katanya, sambil menyatakan bahawa Muhyiddin akan menyampaikan ucaptama di Forum itu.

Yeoh juga menyatakan bahawa pengeluar kasut terkemuka di dunia Datuk Jimmy Choo telah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi inovasi dan kecemerlangan di dalam industri kasut dan fesyen.

"WCEF mengiktiraf Choo sebagai satu ikon fesyen dan mengiktirafnya bagi kreativiti, inovasi dan kecemerlangan di dalam pembuatan kasut," katanya.

Yeoh berkata lebih 100 pemimpin kerajaan, perniagaan, pemikir dan ahli akademik akan menyertai 300 rakyat Australia di forum itu.

"Para peserta akan datang dari China, Hong Kong, Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, India, Britain, Switzerland, dan AS selain Australia," katanya. BERNAMA

Artikel Lain