suria

Mitt Romney Mengaku Kalah

BOSTON: Calon presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan, Mitt Romney pada Rabu mengaku tewas di tangan Barack Obama sekaligus menamatkan persaingan segit bagi merebut jawatan paling berkuasa di dunia.

Romney memberitahu para penyokongnya bahawa beliau telah menelefon Barack Obama untuk mengucapkan tahniah dan syabas.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para jentera dan pasukan kempen Obama.

Pengakuan kalah Romney itu menamatkan kempen 18 bulan pilihan raya presiden.

Obama kini mencatat sejarah sebagai pemimpin Demokrat yang pertama selepas Bill Clinton yang berjaya mempertahankan jawatannya selepas berkhidmat sepenggal.

Perlembagaan Amerika hanya membenarkan seseorang presiden itu memegang jawatan untuk selama dua penggal sahaja.

Setiap penggal perkhidmatan adalah selama empat tahun, bukan lima tahun sepertimana di kebanyakkan negara lain di dunia. Sehingga jam 1.20 tengah hari tadi, Obama telah diisytiharkan menang di 303 "Daerah Pemilih" berbanding 203 untuk Romney dengan hanya tinggal negeri Alaska dan Florida sahaja yang belum selesai pengiraan undi lagi.

Sistem pilihan raya presiden AS bukanlah merupakan undi secara langsung tetapi para pengundi mengundi untuk memastikan siapa yang mereka sokong menang di sebanyak mungkin "Daerah Pemilih".

Keseluruhannya terdapat 538 "Daerah Pemilih" di 50 buah negeri di Amerika dengan Negeri California menawarkan 55 "Daerah Pemilih" iaitu yang terbesar di antara negeri-negeri.

Seandainya majoriti pengundi di Negeri California mengundi untuk Obama ini bermakna, Obama akan menyapu bersih kesemua 55 "Daerah Pemilih" dan begitu juga negeri-negeri yang lain.

Oleh yang demikian untuk menang, seorang calon presiden itu harus memenangi sekurang-kurangnya 270 "Daerah Pemilih".

Jumlah 538 "Daerah Pemilih" ini adalah sama banyak dengan jumlah wakil rakyat (435 orang) dan jumlah senator (100 orang) di Kongres AS.

Berapa banyak setiap negeri menerima peruntukkan jumlah "Daerah Pemilih" ditentukan setiap 10 tahun sekali selepas Jabatan Statistik selesai menjalankan bancian penduduk.

Artikel Lain