Dua Lelaki Warga India Dipenjara Miliki Ketamin Di KLIA - Semasa | mStar

Dua Lelaki Warga India Dipenjara Miliki Ketamin Di KLIA

SHAH ALAM: Dua lelaki warga India masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima dan empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini Rabu selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis ketamin yang disorok di dalam bagasi, dua tahun lepas.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir memerintahkan tertuduh, Firthous Maideen Abdul Karim, 45, menjalani hukuman penjara lima tahun sementara Nazeer Hussain Sahabdeen, 32, dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan.

Hukuman penjara bagi kedua-dua tertuduh diperintah berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada hari kejadian, 25 Mei 2010.

Firthous didakwa memiliki 3,896 gram ketamin di mesin pengimbas kastam di aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira 9.05 pagi, sementara Nazeer didakwa memiliki 4,025 gram ketamin di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Firthous dan Nazeer sebelum ini menghadapi tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bagaimanapun bernasib baik selepas pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Yong Leou Shin menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Terdahulu, peguam Salim Bashir yang mewakili Firthous memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh menghidap sakit buah pinggang dan mempunyai isteri serta tiga orang anak di Tamil Nadu, India.

Beliau berkata, tertuduh telah membawa dadah itu ke negara ini bagi mendapatkan wang untuk kos pembedahan buah pinggangnya di India.

Peguam A.G Kalidas yang mewakili Nazeer pula berkata anak guamnya melakukan kesalahan itu bagi mendapatkan wang untuk membantu perniagaan kedai menjual beg milik bapanya yang terpaksa ditutup kerana masalah kewangan.

"Tertuduh berkawan dengan Firthous dan ada orang lain yang beritahu anak guam saya jika dia bawa dadah ini ke Malaysia mereka akan bayar 10,000 rupiah.

Tertuduh tidak tahu keseriusan kesalahan ini kerana dia pertama kali melakukannya," katanya.

Yong pula berkata, kedua-dua tertuduh telah mendapat diskaun terbesar kerana terlepas daripada hukuman mati dan mahkamah seharusnya mengambil kira bahawa kes melibatkan warga asing membawa masuk dadah ke Malaysia semakin kerap berlaku.

"Fakta kes juga menunjukkan taktik digunakan kedua-dua tertuduh iaitu dengan begitu bersahaja membawa beg besar dan makanan ringan untuk menyorokkan dadah.

Justeru mereka tidak harus diberi hukuman ringan dan hukuman yang dijatuhkan juga perlu berbentuk pengajaran supaya orang lain tidak melakukan kesalahan yang sama, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Hindraf Dijemput Berdialog Dengan PM

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain