suria

Bekas Konstabel Polis Dakwa Jadi 'Kambing Hitam' Dalam Kes Kematian Kugan

KUALA LUMPUR: Bekas anggota polis V.Navindran mendakwa beliau 'dipilih' menjadi kambing hitam dalam kes A.Kugan yang dijumpai mati di Balai Polis Taipan, Subang Jaya pada 20 Januari 2009.

Navindran, 32, defendan kedua kes saman RM100 juta yang difailkan ibu Kugan, N.Indra, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dua hari selepas kejadian, beliau dan 12 anggota balai itu diarah menghadiri satu perjumpaan tertutup dengan Ketua Polis Daerah Subang Jaya (Allahyarham) ACP Zainal Rashid Abu Bakar, dan pada ketika itulah 'dipilih' walaupun pada hakikatnya, dia tidak sudi didakwa berhubung kejadian tersebut.

Ketika disoal peguam R.Sivarasa, yang mewakili Indra, berhubung perjumpaan itu, Navindran yang kini seorang pegawai pemasaran, mendakwa ACP Zainal Rashid memberitahu semua anggota bahawa beliau memerlukan seseorang untuk dijadikan 'kambing hitam' dan jika tidak ada, semua akan didakwa berhubung kes tersebut.

Navindran juga berkata ACP Zainal Rashid berjanji melantik seorang peguam untuk mewakilinya, dan ketika pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 1 Oktober 2009, seorang peguam bernama 'Datuk Sallehuddin' menasihatkan beliau untuk mengaku bersalah, dan sebagai balasan, satu hukuman ringan akan dijatuhkan.

Ketika ditanya Hakim Datuk VT Singham sama ada keluarganya mungkin melantik peguam itu (Datuk Sallehuddin), defendan berkata tidak.

"Memandangkan sejak dari awal lagi saya tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung kes ini, saya tidak setuju dengan apa yang dicadangkan oleh peguam berkenaan dan membuat keputusan untuk melantik peguam sendiri untuk membela saya," katanya.

Navindran juga memberitahu mahkamah bahawa sejurus selepas kematian Kugan, beliau dan 12 anggota lain dipindahkan serta-merta ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Shah Alam untuk membuat tugasan pejabat.

"Selepas siasatan selesai berhubung kes ini, saya masih membuat tugasan pejabat, sementara anggota lain dipindahkan ke kontinjen polis yang lain," katanya.

Ketika ditanya Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad kenapa beliau tidak membangkitkan perkara itu ketika pembelaan dalam kes jenayah di mana dia didapati bersalah, Navindran berkata ACP Zainal Rashid memberitahunya untuk tidak berbuat demikian.

Bagaimanapun, Navindran bersetuju dengan Azizan bahawa beliau sepatutnya mengarahkan peguam membangkitkan perkara itu ketika perbicaraan kes jenayah jika tidak bersetuju dengan ACP Zainal Rashid.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Azizan bahawa dakwaan itu lebih berbentuk apa yang 'difikirkan semula' serta tidak ada perjumpaan dengan peguam tersebut pada hari berkenaan.

Pada 11 Jun lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Navindran selepas mendapati bekas konstabel polis itu bersalah mengakibatkan kecederaan kepada Kugan, seorang suspek kes curi kereta mewah, di sebuah bilik soal siasat di balai polis Taipan USJ, di Subang Jaya pada 16 Januari, 2009.

Pada 13 Januari, Indra, 44, selaku pentadbir harta pusaka Kugan, memfailkan saman dan menamakan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Bakar (ketika iti Ketua Polis Selangor), Navindran, ACP Zainal Rashid, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan, Indra mendakwa semua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan Kugan semasa dia dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Januari 2009.

Perbicaraan bersambung 29 November depan. - BERNAMA

Artikel Lain