suria

Program MR1M Tidak Tumpu Pengusaha Islam Sahaja - Rohani

KUCHING: Program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) terbuka kepada semua pemilik premis makanan dan tidak hanya tertumpu kepada pengusaha makanan Islam sahaja, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Beliau berkata salah faham mengenai konsep MR1M itu dilihat antara faktor menyebabkan kurangnya penglibatan pemilik premis makanan bukan Islam dalam program tersebut

"Pengusaha bukan Islam bimbang pihak kementerian akan campur tangan dalam menu yang disediakan, sekaligus mengurangkan penglibatan mereka dalam program berkenaan. "Menyedari salah faham ini, pegawai KPDNKK akan turun padang menyampaikan maklumat sebenar bagi memperbetulkan persepsi salah itu," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program MR1M Kantin Hospital Umum Sarawak di sini, Selasa.

Mengulas lanjut, Rohani berkata sehingga hari ini, 3,013 premis makanan telah menyertai MR1M di seluruh negara, mendahului sasaran kementerian 3,000 penyertaan menjelang hujung tahun ini.

"Daripada 3,013 premis yang terlibat, 2,541 premis Melayu (84 peratus), 238 premis Indian Muslim (7.9 peratus), 101 premis Cina (3 peratus), 98 premis India (3 peratus) dan 35 premis lain-lain (1.2 peratus).

"Walaupun telah melebihi sasaran, kita akan teruskan membuka penyertaan kepada mana-mana pemilik premis yang berminat menyertai program ini," katanya.

Rohani berkata selain itu sebagai menghargai penglibatan pengusaha, beliau akan mencadangkan pengenalan anugerah kepada pengusaha yang terlibat dalam MR1M. - BERNAMA

Artikel Lain