suria

PM Berlepas Pulang Selepas Kemuncak ASEM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai semasa tiba di Pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Subang, Selasa. Beliau tiba selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah ke-9 (ASEM 9) di Vientiane, Laos. -fotoBERNAMA

VIENTIANE: Datuk Seri Najib Tun Razak pulang ke tanah air pada Selasa selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ke-9 di sini.

Perdana Menteri bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay di sini pada 2.45 petang (Waktu Malaysia: 3.45 ptg).

Selain menghadiri sidang kemuncak dua hari itu yang berakhir hari ini, Najib juga merasmikan cawangan pertama Maybank semalam, menyempurnakan kehadiran bank Malaysia di semua 10 negara Asean.

Beliau dan rakan sejawatannya dari Laos Thongsing Thammavong menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Konsesi Induk antara kerajaan Laos dengan sebuah syarikat pembinaan Malaysia, Giant Consolidated Ltd, di sini semalam.

Di bawah perjanjian itu, syarikat Malaysia itu akan membina Landasan Keretapi Standard Gauge Trek Berkembar menggunakan Elektrik bernilai US$5 bilion (kira-kira RM15 bilion) dari Savannakhet ke Lao Bao, meliputi trek sepanjang 220km dari timur ke barat Laos.

Najib juga menemui pelabur Malaysia dalam projek hidroelektrik dan zon ekonomi khas di sini.

Di luar sidang kemuncak itu semalam, Najib mengadakan rundingan bilateral dengan rakan sejawatannya dari Perancis Francois Hollande; Perdana Menteri Norway Jens Stoltenberg; dan Perdana Menteri Pakistan Raja Pervaiz Ashraf.

Najib dan Rosmah menghadiri jamuan malam ASEM dihos oleh Presiden Laos Choummaly Sayasone dan isteri Keosaychay Sayasone, di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Hari ini, Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Bulgaria Rosen Plevneliev; Perdana Menteri Slovenia Janez Jansa; dan Setiausaha Luar United Kingdom William Hague di luar sidang kemuncak itu. - BERNAMA

Artikel Lain