suria

Penurunan Prestasi Pelaburan Baru P. Pinang: Guan Eng Didesak Beri Penjelasan

GEORGE TOWN: Seorang wakil rakyat pembangkang Pulau Pinang hari ini mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng menjelaskan kepada rakyat negeri ini berhubung penurunan dalam prestasi pelaburan baru ke negeri ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya Datuk Arif Shah Omar Shah berkata kerajaan negeri harus memberi penjelasan berhubung prestasi pelaburan baru dan kedudukan negeri ini menarik pelaburan yang kini berada di tangga ketujuh.

Katanya pelaburan baru dan semula ke Pulau Pinang untuk tempoh Januari-Julai tahun ini adalah tidak melebihi RM1.7 bilion dan berita ini amat menyedihkan untuk rakyat Pulau Pinang.

"Ini soalan saya dan sedang menunggu jawapan dari Guan Eng. Dulu dia bangga dengan pencapaian pelaburan sebanyak RM12 bilion pada 2010. Sekarang (Januari-Julai) tidak lebih RM1.7 bilion," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Arif Shah menyuarakan kekecewaan terhadap pentadbiran kerajaan di bawah Guan Eng kerana gagal memberi jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan. "Saya berasa amat kecewa kerana tidak terima lagi jawapan soalan dewan sampai hari ini. Tanpa maklumat, perbahasan tidak dapat dilakukan kerana ia seharusnya berdasarkan fakta," katanya.

Arif Shah turut mempersoal tindakan kerajaan negeri yang memboroskan wang rakyat untuk penerbitan Buletin Mutiara demi kepentingan politik dan mempromosi parti masing-masing.

Beliau juga mendakwa kerajaan negeri membelanjakan RM8.5 juta untuk mencetak 11 juta naskhah buletin itu dari tahun 2008 hingga 2012. -BERNAMA

Artikel Lain