suria

Peniaga Jam Tangan Mengaku Tidak Bersalah Tipu Suami Isteri

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga jam tangan di Jalan Masjid India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan cuba menipu sepasang suami isteri berhubung penjualan tapak VIP bazar Ramadan, Julai lalu.

Shahurin Mohd, 60, didakwa cuba menipu Nor Azlizan Ali, 28, dan Mohd Zaidi Mohd Yasin, 30, dengan memperdayakan mereka bahawa tapak tersebut di petak 31, Jalan Masjid India yang telah diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Roslan Dahaman, 67, sebagai pemiliknya boleh dijual kepada mereka.

Sedangkan tertuduh sedar DBKL tidak membenarkan tapak tersebut dijual kepada sesiapa.

Perbuatan tertuduh telah mendorong pasangan itu memberikan kepada tertuduh wang tunai RM3,000 iaitu sebagai wang pendahuluan dan kemudiannya membayar sebanyak RM25,000 bertarikh 18 Julai lalu, untuk membeli tapak tersebut.

Pasangan tersebut tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh untuk berbuat demikian. Bagi kesalahan itu, Shahurin didakwa mengikut Seskyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 511 kanun sama, yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afifah Mamat. - BERNAMA

Artikel Lain