suria

Pengarah Perak Industrial Corp Didakwa Palsukan Dokumen

TAIPING: Pengarah Perak Industrial Corporation Sdn Bhd sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi melantik anak lelakinya sebagai pengarah syarikat itu dan memindahkan 100 unit saham kepadanya, dua tahun lepas.

Tan Boon Huat, 59, yang merupakan pemegang saham terbesar syarikat pembalakan dan perkayuan itu, juga berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Akta Syarikat 1965, iaitu membuat penyataan palsu berhubung butiran pelantikan anaknya.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Azuar Che Yusof.

Mahkamah membenarkan Tan diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pertuduhan pertama mendakwa Tan menggunakan dokumen palsu iaitu pekeliling resolusi lembaga pengarah Syarikat Perak Industrial Corporation Sdn Bhd bertarikh 24 Nov 2010 bagi melantik anaknya, Tan Kang Wei, 33, sebagai pengarah syarikat itu di pejabat setiausaha syarikat tersebut di alamat No.64, Jalan Barrack di sini.

Mengikut pertuduhan kedua, Tan didakwa menggunakan dokumen palsu yang sama bertarikh 25 November 2010 bagi memindahkan 100 unit saham miliknya di syarikat itu kepada Kang Wei.

Bagi kedua-dua kesalahan, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan dakwaan membuat satu penyataan palsu berhubung butiran material dalam borang 49 bertarikh 24 Nov 2010, iaitu suatu borang diwartakan yang seharusnya diserahsimpan ke Pendaftar Syarikat mengikut peruntukan Seksyen 141(6) Akta Syarikat 1965 berkaitan pelantikan Kang Wei sebagai pengarah syarikat itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu walaupun mengetahui pelantikan tersebut adalah tidak sah kerana dibuat tanpa persetujuan adiknya, Tan Boon Lee, 57, yang juga seorang pengarah syarikat Perak Industrial Corporation Sdn Bhd.

Tan didakwa mengikut Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir dan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia Mohd Azies Han Mohd Fadzil.

Tan diwakili tiga peguam iaitu Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Badrul Munir Buhari dan Alvin Oh.

Pada 3 Ogos lepas, Tan dan Kang Wei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang syarikat itu berjumlah lebih RM11 juta, tiga tahun lepas.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM800,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan. - BERNAMA

Artikel Lain