suria

Mangsa Banjir Di Johor, Melaka, Perak, Selangor Cecah 3,684 Orang

KUALA LUMPUR: Banjir akibat hujan berterusan di Johor, Melaka, Perak dan Selangor sejak seminggu lalu menyebabkan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir mencecah 3,684 orang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuka pusat pemindahan di kawasan berkenaan untuk menempatkan mangsa banjir.

"Jumlah pusat pemindahan yang dibuka ialah 45 buah, di mana 22 buah terletak di Johor, lapan di Melaka, lima di Perak dan 10 di Selangor," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pakej kebajikan ASTRO di Pusat Aktiviti Warga Emas Cheras Baru di sini Selasa.

Setakat ini, seramai 1,158 keluarga telah didaftarkan di pusat pemindahan.

"JKM membekalkan segala peralatan seharian seperti makanan, selimut, tikar serta bencana kit untuk mangsa bencana di pusat pemindahan ini," katanya.

Katanya enam pusat pemindahan telah ditutup setelah banjir beransur pulih di Johor, Melaka dan Perak.

Heng berkata tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Beliau berkata JKM turut menyediakan pengangkutan untuk membawa pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke pusat peperiksaan di kawasan yang terjejas akibat banjir. - BERNAMA

Artikel Lain