suria

Malaysia Pantau Rapat Pilihan Raya Presiden AS - Mukhriz

Mukhriz
Mukhriz
Mukhriz

KUALA LUMPUR: Malaysia kini memantau secara rapat pilihan raya presiden dan kongres Amerika Syarikat kerana ianya dijangka memberikan beberapa impak kepada ekonomi negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata Amerika Syarikat ialah antara rakan dagangan utama Malaysia dan dasar luar mereka amat penting kepada negara.

"Satu perkara penting yang kita perlu pantau ialah bagaimana presiden AS yang baharu akan melayan China kerana China ialah rakan dagangan utama (nombor satu) kita, terutamanya selepas Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China berkuat kuasa," kata beliau kepada Bernama pada Selasa.

Rakyat Amerika pada Selasa mengundi untuk memutuskan sama ada akan memilih semula Presiden Barack Obama atau mengundi calon presiden Republikan Mitt Romney sebagai presiden baharu.

"Sekiranya Obama berjaya mengekalkan kerusinya, sekurang-kurangnya dasar luar AS tidak banyak perubahan dan tidak banyak impaknya kepada Malaysia.

"Tetapi sekiranya Romney menjadi presiden baharu, kita perlu tunggu dan lihat bagaimana dasar luar beliau akan berubah dan kesannya kepada kita.

"Apa-apa yang menjejaskan ekonomi China mesti mempunyai kaitan dengan AS dan Kesatuan Eropah juga akan mempunyai impak ke atas Malaysia," tambah beliau.

Perdagangan dua hala Malaysia-AS berjumlah US$36.33 bilion tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain