suria

Lembah Lenggong Dirai Tapak Warisan Dunia 10 November Ini

LENGGONG: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan kerajaan negeri Perak akan mengadakan majlis meraikan Lembah Lenggong Tapak Warisan Dunia Sabtu ini di Dataran Lenggong.

Menurut kenyataan kementerian, selain bertujuan menghebahkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) kepada Lembah Lenggong, ia juga bertujuan meningkatkan komitmen pemegang kepentingan iaitu anggota masyarakat setempat untuk memelihara dan melindungi warisan dunia itu.

Dianggarkan lebih 5,000 orang terdiri daripada anggota masyarakat, para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, wakil persatuan sejarah dan warisan serta pengusaha sektor pelancongan akan membanjiri Dataran Lenggong untuk bersama-sama meraikan pengiktirafan tersebut.

Pada program sehari ini, pelbagai acara dan aktiviti akan diadakan sebelum acara kemuncak antaranya termasuk Acara Rakyat.

Para pengunjung akan turut dihibur oleh persembahan artis kelahiran Perak seperti Os, Datuk M. Daud Kilau dan Wahid Senario.

Tidak ketinggalan diadakan ialah pelbagai pertandingan seperti pertandingan gerai terbersih, inap desa terbaik, rumah terbersih dan halaman tercantik selain demonstrasi masakan dan jualan makanan warisan Lenggong dan Perak.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan turut hadir.

Mereka berdua dijangka akan melancarkan laman sesawang Warisan Arkeologi Lembah Lenggong Tapak Warisan Dunia Unesco selain merasmikan plak pengisytiharannya.

Rais juga akan menyerahkan watikah Warisan Dunia Unesco kepada Zambry selain menyampaikan sumbangan serta hadiah kepada para pemenang pelbagai pertandingan yang diadakan.

Menurut kenyataan itu, para hadirin juga berpeluang menyaksikan tayangan video Warisan Arkeologi Lembah Lenggong.

Pada 30 Jun lepas, Unesco mengiktiraf Lembah Lenggong di Hulu Perak sebagai tapak warisan dunia hasil penemuan beberapa artifak berusia lebih 11,000 tahun menerusi kerja ekskavasi ahli arkeologi negara sejak 20 tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain