suria

Kelonggaran Penguatkuasaan Letak Kereta Di Tepi Jalan Kawasan Kediaman Putrajaya

KUALA LUMPUR: Perbadanan Putrajaya telah memberi kelonggaran dengan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan yang diletakkan di tepi jalan di kawasan kediaman pada waktu malam, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan akan diambil jika kenderaan tersebut didapati mengganggu lalu lintas.

"Bagi mengatasi masalah letak kereta di kawasan pejabat pula, sebahagian tempat letak kereta berbayar telah diserahkan kepada kementerian berhampiran seperti Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Kompleks Jabatan Perdana Menteri dan Hospital Putrajaya di tempat letak kereta Putrajaya Sentral di Presint 7," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013.

Di samping itu, katanya, Perbadanan sedang membangunkan kawasan tempat letak kereta bertingkat di Presint 4 bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta di kawasan berkenaan.

Persidangan dewan bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain