suria

Banjir: 4,255 Mangsa Dipindahkan Di Perak, Melaka, Selangor, Johor

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir masih lagi serius di empat negeri iaitu Perak, Melaka, Selangor dan Johor yang mencatatkan seramai 4,255 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan setakat pukul 6 petang, berbanding 3,684 orang pada Isnin.

Menurut laman portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), Johor mencatatkan jumlah tertinggi 1,979 mangsa banjir, Selangor (1,957), Perak (203) dan Melaka (116).

Sehingga kini tiada penutupan jalan dan kehilangan nyawa akibat kejadian banjir berikutan hujan lebat sejak minggu lepas.

Menurut laporan portal MKN itu, sebanyak 31 pusat pemindahan dibuka di negeri terbabit dalam kejadian banjir itu dengan melibatkan daerah di Batu Pahat 16 pusat pemindahan, Kuala Langat (lima), Sepang (tiga) manakala masing-masing dua pusat pemindahan bagi Melaka Tengah, Jasin dan Hilir Perak.

Hanya satu pusat pemindahan dibuka di Ledang, Johor.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie berkata setakat ini seramai 1,158 keluarga didaftarkan kementerian di pusat pemindahan.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat membekalkan segala keperluan harian seperti makanan, selimut, tikar dan bencana kit untuk mangsa bencana di pusat pemindahan ini," katanya.

Sementara itu Ketua Wanita Barisan Nasional Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata beribu-ribu anggota Skuad Sayang Pergerakan Wanita BN digerakkan sebagai sukarelawan bagi membantu mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di seluruh negara.

Beliau berkata sukarelawan itu akan membantu membuat kerja seperti memasak, mencuci dan menjaga bayi mangsa banjir yang tinggal di pusat pemindahan itu. - BERNAMA

Artikel Lain