suria

Banjir: 370 Orang Dipindahkan Di Perak, Melaka

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda beberapa kawasan berikutan hujan lebat di pantai Barat Semenanjung sejak seminggu lalu menyebabkan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Melaka dan Perak meningkat kepada 370 orang.

Di Ipoh, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak meningkat daripada 256 orang yang dipindahkan sejak Sabtu lepas kepada 265 orang pada Selasa.

Katanya hanya sembilan mangsa banjir yang dipindahkan malam tadi dan kesemua mereka ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan di daerah itu.

Beliau berkata air masih bertahan antara 0.5 meter hingga 1 meter di kawasan itu dan mangsa dipindahkan berikutan hujan lebat menyebabkan air dari Sungai Bidor melimpah ke kampung-kampung terbabit.

Kesemua mangsa banjir dipindahkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis.

Di Melaka, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata jumlah mangsa banjir meningkat kepada 115 orang berbanding 104 orang semalam yang melibatkan dua daerah iaitu Jasin dan Melaka Tengah. -BERNAMA

Artikel Lain