suria

Transformasi Politik, PRU-13 Tajuk Utama Perbahasan Perhimpunan Umno

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno pada hujung bulan ini perlu memfokus kepada kesinambungan transformasi politik yang dilaksanakan oleh presiden parti di samping membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jurucakap Umno yang mewakili negeri masing-masing harus menjurus perbahasan kepada dua perkara utama itu dan bukanlah masalah dalaman atau masalah di akar umbi.

"Sepatutnya perhimpunan kali ini perlu menjadi kesinambungan terhadap tranformasi politik yang dilakukan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini penting dalam mengekalkan perpaduan serta kesetiaan kepada kepimpinan parti dari peringkat akar umbi di samping memantapkan jentera pilihan raya sedia ada di negeri masing-masing," katanya dalam sidang media di Parlimen Isnin.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata keutamaan adalah memenangi PRU dan jika perkara itu berjaya dilaksanakan parti, maka apa sahaja masalah dalaman akan terjawab.

Katanya pembahas yang akan mewakili negeri-negeri sudah pun dikenal pasti oleh jawatankuasa yang diketuai seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Perhimpunan Agung Umno 2012 akan berlangsung mulai 27 November sehingga 1 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Eksekutif Suberbike Association Of Malaysia (SAM) berkata kira-kira 5,000 anggota persatuan itu akan menyertai acara mengelilingi Putrajaya dan Cyber Jaya dengan menunggang motosikal berkuasa besar pada 11 Nov, sempena 1Malaysia Bike Week.

Kata Ahmad Zahid, seramai 355 penunggang SAM akan mengelilingi Semenanjung Malaysia bermula dari Johor dan akan tamat pada 10 Nov di Putrajaya. - BERNAMA

Artikel Lain