suria

TPM Minta Umat Islam Pelihara Kesucian Agama

PAGOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta umat Islam di negara ini memelihara kesucian agama untuk mengelak dikelirukan golongan yang mengaku pakar tetapi mempunyai agenda lain, terutama politik.

Beliau berkata kefahaman tinggi terhadap Islam dapat mengelak mereka dinodai orang yang 'nampak warak' tetapi mempunyai muslihat lain.

"Sekarang bila disebut Islam, ramai yang mengaku pakar dan mahir tetapi kalau kita dalami, yang lebih diutamakan mereka bukan agama, tetapi politik," katanya ketika berucap pada Forum Perdana Hal Ehwal Islam anjuran Majlis Gabungan NGO Melayu Ledang/Muar dan Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang malam Ahad.

Forum bertajuk 'Kasihkan Agama, Kasihkan Ummah, Kasihkan Negara Adalah Tuntutan Fardhu Ain' itu disertai tiga anggota panel iaitu Sheikh Ismail Hashim, bekas Imam Masjid Negara Datuk Kamaruddin Zakaria serta penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut.

Muhyiddin, yang juga Anggota Parlimen Pagoh, berkata kerajaan tidak pernah berganjak daripada mempertahankan Islam, termasuk dengan mengadakan sesi penerangan, menyebar risalah serta menganjurkan forum seperti malam Ahad.

Beliau berkata program seperti itu bukan sahaja mempertingkat pengetahuan malah mampu mengelak penyebaran akidah songsang di kalangan masyarakat.

"Kita mahukan institusi agama yang kukuh. Sebab itu, peranan Malaysia dalam mempertahankan Islam turut dihormati negara Islam lain.

"Pengerusi Al-Qurds International Institution Sheikh Yusuf Al-Qaradawi turut berterima kasih kepada Malaysia atas komitmen menyokong perjuangan di Palestin. "Begitu juga tiga ulama lain yang saya jumpa, yang memohon pertolongan berhubung pergolakan di Syria," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain