Polis Buru Lelaki Miliki Senjata Api - Semasa | mStar

Polis Buru Lelaki Miliki Senjata Api

ALOR SETAR: Polis menahan empat lelaki dan masih memburu seorang lagi susulan kes tembakan di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani pada Khamis lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata mereka yang ditahan di sekitar Sungai Petani pada Khamis dan Sabtu lepas adalah rakyat tempatan berumur 24 hingga 39 tahun dan dipercayai mengenali antara satu sama lain.

"Semua suspek adalah geng penjenayah dan mempunyai lebih 10 rekod jenayah lampau termasuk bunuh, samun, curi, dadah, pecah rumah dan kes pergaduhan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata tangkapan itu dibuat ekoran satu kejadian tembakan yang berlaku di Bandar Puteri Jaya pada Khamis lalu pukul 2.30 pagi.

Dalam kejadian itu, dua suspek merosakkan bahagian pintu rumah seorang lelaki dan kemudiannya berlaku kejadian tembak-menembak antara mereka sebelum mangsa melarikan diri ke pondok polis Puteri Jaya bersama rakannya untuk menyelamatkan diri. "Ekoran kejadian itu, pihak polis telah menahan salah seorang suspek yang terlibat dengan kes itu pada pukul 9 pagi hari yang sama. Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku disebabkan masalah hutang. "Pihak polis juga turut merampas sebuah kereta Proton Waja dan mendapati kereta itu adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Sungai Petani pada 24 September lepas.

Pemeriksaan yang dibuat pada kereta itu juga menjumpai sebilah pisau, dua tong minyak petrol, sebotol gas dan jaket hitam," katanya.

Beliau berkata mangsa dalam kes itu dan rakannya turut ditahan dan hasil siasatan mendapati mangsa juga terlibat dengan kes jenayah dan mempunyai 14 kes jenayah lampau. "Lelaki itu (mangsa) telah membawa pihak polis ke sebuah rumah di SP Height, Sungai Petani dan menjumpai sepucuk revolver .38 bersama enam butir peluru. Kita turut merampas sebilah pedang samurai dan telefon bimbit," katanya.

Ahmad berkata susulan operasi itu, polis menangkap seorang lagi lelaki dan merampas dua pucuk pistol angin bersama dua magazine dan siasatan sedang dijalankan bagi memastikan sama ada lelaki itu terlibat dalam kumpulan penjenayah berkenaan. "Mangsa yang ditahan adalah orang yang dikehendaki bersabit satu kes mencederakan orang pada tahun 2007. Semua mereka yang ditahan kini direman bermula Jumaat lepas hingga Khamis ini.

"Suspek utama kes itu, Yeoh Choon Wah, 34, masih diburu polis dan dia adalah seorang yang amat berbahaya dan memiliki senjata api. Suspek adalah seorang penagih tegar dan dia tidak akan teragak-agak untuk melepaskan tembakan kepada sesiapa jika terdesak," katanya.

Katanya Yeoh menggunakan kereta jenis BMW berwarna hitam, bernombor pendaftaran PJC 3338.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek itu dikehendaki melaporkan kepada pihak polis dengan segera dan jangan bertindak bersendirian bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

PM Tidak Fikir Hadi Akan Bertanding Di Pekan

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain