suria

Pertukaran Pegawai Perhilitan Setiap Tiga Tahun Elak Bersubahat Dengan Penyeludup

KUALA LUMPUR: Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan dipindahkan ke tempat lain setiap tiga tahun untuk menghalang mereka daripada bersekongkol dengan penyeludup hidupan liar, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas pada Isnin.

Amalan ini dilaksanakan berikutan kes peniaga hidupan liar antarabangsa Anson Wong, yang didakwa bersubahat dengan pegawai-pegawai Perhilitan dalam penyeludupan haiwan.

"Prosedur operasi standard (SOP) untuk Perhilitan telah berubah supaya penyeludupan hidupan liar boleh dibendung.

"Kami sedar bahawa terdapat pegawai Perhilitan yang mungkin telah terlibat dalam operasi Wong. Kami telah menjalankan siasatan tetapi ia bukanlah mudah," Uggah memberitahu Dewan Rakyat ketika menggulung perbahasan Bajet 2013 di peringkat jawatankuasa.

Beliau berkata biasanya masalah akan timbul apabila seseorang pegawai berada di tempat yang sama terlalu lama.

"Kementerian sangat bimbang jika terdapat sebarang penyalahgunaan kuasa dan akan memastikan bahawa pegawai-pegawai kita mempunyai integriti yang kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Lim Guan Eng (DAP - Bagan) yang bertanya sama ada kementerian itu telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan pegawai Perhilitan berkomplot dengan Wong dan apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk memastikan perkara ini tidak akan berulang.

Uggah berkata kementerian telah bekerjasama dengan agensi-agensi antarabangsa untuk mencegah penyeludupan hidupan liar dan telah membatalkan semua lesen yang diberikan kepada Wong dan sesiapa yang berkaitan dengannya.

Untuk soalan oleh Yusmadi Yusoff (PKR - Balik Pulau), Uggah berkata kementerian menghormati keputusan mahkamah, yang mengurangkan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Wong yang secara haram mengeksport ular tanpa permit.

Pada 6 September tahun lepas, Mahkamah Majistret Sepang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM190,000 terhadap Wong selepas dia mengaku bersalah secara haram mengeksport spesies terancam tanpa permit.

Artikel Lain