suria

MTUC Desak Kerajaan Tegas Laksana Gaji Minimum

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Isnin menggesa kerajaan supaya bertegas dengan pelaksanaan skim gaji minimum bulanan RM900 bermula 1 Januari tahun depan.

Presidennya, Khalid Atan memberitahu Bernama majikan telah diberikan masa yang cukup dan kini mereka sepatutnya sedia untuk melaksanakan tindakan itu.

Khalid mengulas permintaan Presiden Persatuan Industri Kecil Sederhana (SMI) Malaysia, Teh Kim Sim supaya kerajaan mengkaji semula rancangan itu dan tidak tergesa-gesa melaksanakannya.

Khalid berkata majikan tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menangguhkan rancangan itu oleh kerana pekerja telah menunggu hampir 12 tahun.

"Malahan MTUC mahu gaji minimum dinaikkan kepada RM1200 berdasarkan kos hidup yang semakin meningkat khususnya di kawasan bandar," ujar beliau.

Beliau menjelaskan RM900 itu dicadangkan oleh kongres pada 1999, tetapi tidak ada respons dari kerajaan pada masa itu.

Sementara itu, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata kebanyakan anggotanya siap sedia untuk pelaksanaan.

"Bagaimanapun, lebih baik jika kerajaan dapat memberikan firma kecil penangguhan, kerana mereka memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan kedudukan dengan skim gaji baru itu," kata Pengarah Eksekutifnya, Haji Shamsuddin Bardan.

Beliau berkata kira-kira 4,500 firma seumpama itu telah memohon kepada Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) bagi mempertimbangkan keadaan mereka.

Bernama difahamkan NWC yang akan bermesyuarat lewat bulan ini akan mengkaji permohonan itu berdasarkan merit. - BERNAMA

Artikel Lain