suria

Bayi Lelaki Masih Bertali Pusat Ditemui Di Depan Rumah Pasangan Cina

BUTTERWORTH: Seorang bayi lelaki ditemui di depan rumah pasangan suami isteri berketurunan Cina di Mak Mandin di sini awal pagi Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu pada 6.30 pagi.

"Bayi yang sihat, cukup sifat, berkulit cerah dan bertali pusat itu dipercayai dilahirkan antara tiga hingga empat jam sebelum ditemui di depan rumah pasangan Cina itu dalam keadaan berbalut dengan kain," katanya kepada pemberita hari Isnin.

Beliau berkata bayi itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan usaha mencari individu yang membuang bayi malang tersebut giat dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta berhubung dengan balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain