142.7 Kg Emas Disita Daripada Empat Syarikat Pengendali Skim Pelaburan Haram - Semasa | mStar

142.7 Kg Emas Disita Daripada Empat Syarikat Pengendali Skim Pelaburan Haram

KUALA LUMPUR: Sejumlah 142.7 kilogram emas serta wang tunai dan wang dalam akaun bank berjumlah RM101.92 juta disita dalam serbuan oleh pihak berkuasa ke atas empat premis syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas.

Bank Negara Malaysia, dalam kenyataan bersama dengan Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia, menyebut rekod yang disita menunjukkan sebilangan besar bilangan pelabur telah membayar wang pelaburan namun belum menerima emas yang dibeli sebelum serbuan itu dilakukan, dan dalam kes tertentu, tempoh menunggu untuk mendapatkan emas adalah melebihi lima bulan.

Kenyataan itu juga menyebut agensi penguatkuasa menyedari kesukaran yang dialami pelabur terbabit dan sedang berusaha mengesan penyimpanan wang dan aset syarikat terbabiy.

Sehubungan itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan aliran wang serta aset lain dan sebuah firma perakaunan antarabangsa turut dilantik secara sepenuh masa bagi membantu siasatan.

"Skop penyiasatan adalah bersifat antarabangsa. Dalam hubungan ini, agensi penguatkuasaan bekerjasama secara aktif dengan rakan sejawat di luar negara untuk mendapatkan bukti di beberapa negara lain bagi membantu penyiasatan," katanya.

Menurut kenyataan itu, siasatan mendapati sesetengah syarikat terbabit tidak mempunyai simpanan rekod yang memuaskan selain gagal menyimpan semua rekod transaksi perniagaan serta kewangan dengan baik dan tepat.

Semua syarikat terbabit mempunyai simpanan rekod kewangan dalam pelbagai versi untuk tujuan berbeza, selain gagal mengemukakan akaun untuk diaudit oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia sejak beberapa tahun lepas, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Kenyataan itu juga menyebut bagi perniagaan, terutama yang melibatkan bilangan pelabur serta jumlah wang besar, penyimpanan rekod transaksi perniagaan yang baik dan tepat adalah sangat penting untuk mengelak daripada berlakunya salah pengurusan kewangan atau memberi gambaran salah berhubung keadaan kewangan sebenar syarikat.

Bulan lepas, Bank Negara bersama tiga agensi penguatkuasa terbabit melakukan serbuan ke atas premis Genneva Malaysia serta kediaman pengarahnya selepas beberapa pelabur yang menjadi mangsa membuat laporan polis. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

Artikel Lain

Nelayan temui duit dalam perut ikan

Messi gantung but 2021?