suria

Usaha Kerajaan Bawa Balik Pakar Perubatan Luar Negara Capai Hasil Positif

KULIM: Usaha kerajaan membawa balik pakar-pakar perubatan dari kalangan rakyat Malaysia yang berkhidmat di luar negara menerusi TalentCorp menampakkan hasil positif, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, lebih 100 pakar ternama dalam bidang perubatan yang sedang berkhidmat di Australia, Taiwan, dan United Kingdom termasuk di Ireland telah menyatakan hasrat dan minat untuk pulang dan berkhidmat di Malaysia.

"Selain memberi tempat sewajarnya, ganjaran lebih baik ditawarkan kepada mereka yang balik berkhidmat di tanah air," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perkhidmatan CT Scan, Jabatan Pengimejan Hospital Kulim di sini, Ahad.

Sebelum itu, beliau diberi taklimat mengenai Hospital Kulim oleh pengarahnya, Dr Asmayani Khalib.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamarul Zaman Md Isa dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat.

Menurut Liow lawatan oleh Talent Corp dan wakil kementerian ke Taiwan dan Australia bagi menerangkan tawaran kerajaan dan untuk meyakinkan mereka agar kembali berkhidmat di negara sendiri mendapat respons cukup memberangsangkan.

"Kita dapati ramai ingin balik dan sanggup mengenepikan gaji lumyan yang diterima di luar negara. Oleh itu, urusan agar mereka balik akan dipermudahkan.

"Pertambahan pakar bermakna tempoh menunggu untuk mendapat khidmat kepakaran dapat dipendekkan," katanya.

Liow berkata, daripada 135 buah hospital kerajaan, hanya 50 mempunyai pakar mencukupi dan bakinya sangat-sangat memerlukan perkhidmatan pakar perubatan.

Beliau mengumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang melawat Langkawi 31 Oktober lepas telah meluluskan sebuah Ambulans Laut khusus untuk membawa pesakit dari pulau pelancongan itu ke tanah besar.

"Perdana Menteri mengarahkan saya berunding dengan syarikat feri bagi mengubahsuai sebuah feri untuk dijadikan Ambulans Laut kerana perkhidmatan ini telah lama dipohon. Lagi cepat rundingan selesai, cepatlah ia dilaksanakan.

"Tindakan ini selaras dengan penjenamaan semula Langkawi oleh Najib semasa melakukan lawatan itu bagi menjadikan Langkawi pulau peranginan ternama dunia yang memerlukan perkhidmatan Ambulans Laut," katanya.

Mengenai Institut Kanser Negara di Putrajaya, beliau berkata, ia akan siap dan beroperasi menjelang akhir tahun depan.

Katanya, kementerian menubuhkan institut itu yang dilengkapi peralatan canggih serta pakar-pakar khas bagi merawat penyakit kanser.

Ketika berucap kepada staf Hospital Kulim sebelum itu, Liow meminta mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan mengelak daripada berpolitik kerana ia akan menjejaskan agenda transformasi yang dilaksanakan kerajaan.

Sementara itu, Liow berkata, dari tahun lepas hingga sekarang 14 unit CT Scan bernilai RM1.4 juta seunit yang digunakan untuk mengesan penyakit dibekalkan kepada hospital-hospital kerajaan.

Enam unit lagi akan dibekalkan tahun depan agar rakyat mendapat perkhidmatan terbaik.

Beliau berkata, Hospital Kulim yang mempunyai doktor pakar dalam sembilan bidang akan ditambah menjadi 16 menjelang 2015 untuk menjadikannya Hospital Komuniti.

Pada majlis itu, beliau meluluskan dua unit mesin haemodialisis serta RM200,000 bagi membina tempat meletak kenderaan manakala ketua Umno bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menyumbang tiga unit mesin tersebut bagi memenuhi permintaan pesakit di daerah ini.

Pada masa ini, Hospital Kulim memiliki 13 unit mesin haemodialisis. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain