suria

Undang-Undang AntiLompat Parti Tunjuk Pembangkang Tidak Percaya Wakil Sendiri

GEORGE TOWN: Undang-undang antilompat parti yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Khamis lepas jelas menunjukkan pakatan pembangkang tidak yakin dan hilang kepercayaan terhadap wakil rakyatnya sendiri.

Bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, undang-undang antilompat parti tidak relevan kerana ia seperti membelakangkan hak wakil rakyat.

"Ini bukan pasal isu lompat parti, tetapi kalau pembawaan parti itu dah menyeleweng, terpulang kepada wakil rakyat nak tinggalkan parti itu," kata anggota Parlimen Bebas kawasan Bayan Baru itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Khamis lalu meluluskan rang undang-undang 'Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012, bertujuan membanteras amalan melompat parti untuk mendapatkan habuan.

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dibahaskan dalam tempoh sehari sebelum diluluskan dengan undian dua pertiga.

Zahrain yang ditemui selepas program TP-1Malaysia di Perumahan Desa Permai Indah, Batu Uban di sini hari ini, berkata langkah mewujudkan undang-undang antilompat parti itu mencerminkan Lim takut dengan bayang-bayang sendiri jikalau ada yang ingin menentangnya.

"Saya hairan kenapa mereka sibuk dengan anti hopping (lompat parti)...di Sabah apabila ada orang lompat (parti) mereka (pakatan pembangkang) terima dengan tangan terbuka. Ini hipokrasi yang besar," katanya.

Katanya, politik seharusnya merupakan platform memperjuangkan nasib rakyat tetapi DAP telah menjadi platform yang berkhidmat untuk Lim.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Bayan Baru pada pilihan raya umum ke-13, Zahrain berkata, beliau bersedia bertanding namun keputusan itu terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain