suria

Sebanyak 180 Saman Dikeluarkan Dalam Ops Khas Trafik

KUANTAN: Sebanyak 180 saman dikeluarkan kepada pesalah lalu lintas dalam Operasi Khas trafik pada Ahad.

Penunggang motosikal paling ramai disaman kerana tidak memiliki lesen memandu dalam operasi yang bermula 1.30 pagi hingga 6 pagi itu, selain sembilan pemilik kereta yang mengubah suai enjin dan spesifikasi.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata 76 motosikal turut disita dalam operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan di beberapa jalan utama di sekitar Kuantan itu.

"Pihak polis dari Jabatan Jenayah Narkotik Pahang turut menahan tujuh lelaki selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Tujuh penunggang motosikal turut didapati positif penyalahgunaan dadah selepas menjalani ujian air kencing," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata sejumlah 19 motosikal juga disita apabila penunggangnya bertindak meninggalkan kenderaan mereka di tepi jalan selepas melihat sekatan polis dalam operasi itu.

Katanya, polis masih menyiasat sama ada kenderaan yang ditinggalkan adalah motosikal curi. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain