suria

Rakyat Diminta Tidak Perjudi Masa Depan Negara Dengan Sokong Pembangkang - TPM

PAGOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad meminta rakyat supaya tidak memperjudikan masa depan negara dengan cuba memberi sokongan kepada pembangkang sebaliknya terus bersama Barisan Nasional (BN) demi menjamin masa depan.

Beliau berkata kerajaan BN sudah mempunyai pelbagai pengalaman dalam mentadbir negara sejak 55 tahun lepas berbanding pakatan pembangkang yang dilihat semakin 'bersimpang-siur' dan 'cacamarba' dalam pentadbiran mereka. "Masa depan tidak boleh diperjudikan," kata Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN semasa berucap pada majlis perjumpaan khas anggota jentera pilihan raya BN Pagoh, di sini, Ahad.

Timbalan Perdana Menteri berkata di 'musim kilang-kilang fitnah bekerja 24 jam' ketika ini, rakyat diminta supaya jangan sesekali bersifat ingin mencuba nasib dengan menyokong pakatan pembangkang yang hanya pandai menabur janji tetapi tidak ditepati.

"Dia (pembangkang) janji macam-macam. Kata boleh buat lebih baik dari kita (BN) tetapi tidak boleh. Mereka tidak sepakat, jadi, bagaimana hendak tubuh kerajaan. "Hari-hari ada berita dari Selangor. Bukan BN hendak bohong tetapi bila ditanya, mereka (pembangkang) tidak dapat jawab,soal air di Selangor, saya hendak lihat bagaimana Selangor menyelesaikan masalah itu," tegasnya.

Mengenai jentera pilihan raya BN Pagoh, Muhyiddin menasihatkan jentera di 46 Pusat Daerah Mengundi itu supaya bekerja keras demi mencapai kemenangan.

Matlamat BN untuk mendapat majoriti lebih besar pada pilihan raya umum akan datang akan tercapai sekiranya anggota jentera mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain