suria

Puteri Umno Bidas Kenyataan PAS Labelkan BN Parti Perkauman

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO membidas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti komponen Barisan Nasional (BN), terutama MCA dan MIC, bersifat perkauman.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kenyataan itu membuktikan Presiden PAS adalah seorang yang berfikiran sempit serta gemar menggunakan politik berunsur fitnah.

"Kenyataan Abdul Hadi membuktikan bahawa pemimpin pembangkang di negara ini lebih gemar menyebar fitnah meskipun mereka sedar bahawa perkara tersebut adalah salah serta dilarang oleh agama.

"Keadaan ini amat mengecewakan kerana ketika semua parti komponen BN bekerja keras membela nasib rakyat, pembangkang pula bekerja keras memutar-belitkan fakta untuk memfitnah," katanya.

Beliau mengulas ucapan Abdul Hadi pada perhimpunan jalanan di Seremban semalam yang mendakwa parti komponen BN terutama MCA dan MIC bersifat perkauman kerana dianggotai satu kaum sahaja manakala parti pembangkang tidak begitu dan dianggotai pelbagai kaum.

Sehubungan itu, Rosnah mengingatkan rakyat supaya tidak sekadar menerima dakwaan pembangkang tanpa menimbang usaha dilaksanakan kerajaan yang sudah jelas terbukti. Beliau berkata perpaduan yang sedia wujud hari ini bukan datang dengan mudah dan negara melalui pelbagai cabaran serta ujian sejak mula mencapai kemerdekaan.

"Jadi, janganlah kita memusnahkan keharmonian dan perpaduan yang wujud ini melalui cara mudah terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang ingin memecah-belahkan kerjasama rakyat yang sedia ada. "Untuk meruntuh atau memusnahkan perpaduan dan kerjasama antara kaum amat mudah sekali, tetapi untuk membinanya, kita terpaksa mengambil masa yang lama," katanya.

Rosnah juga berkata pembangkang sanggup mengkucar-kacirkan keharmonian negara dengan politik fitnah demi mengejar impian mereka yang terlalu ingin untuk memerintah.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya mengambil pengajaran daripada pengakuan bekas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim yang pernah berkata bahawa penyertaannya dalam parti itu merupakan satu kesilapan besar.

Tunku Abdul Aziz dalam satu kenyataan sebelum ini berkata beliau tertipu dengan kenyataan DAP yang mendakwa kononnya parti itu memperjuangkan kepentingan pelbagai kaum. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain