suria

Polis Marin Sandakan Tahan Sembilan Pati

SANDAKAN: Sembilan pendatang tanpa izin termasuk tiga wanita ditahan ketika cuba masuk secara haram ke daerah ini awal Ahad.

Mereka yang berusia antara 17 hingga 30 tahun ditahan oleh anggota Pasukan Polis Marin Sandakan dalam sebuah bot laju di Kuala Sungai Batu 2 dekat sini kira-kira pukul 12.20 pagi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Abdul Manaf Othman berkata, bot tersebut berjaya ditahan ketika t erkandas di kawasan cetek di sungai itu selepas dikejar oleh bot polis marin.

Katanya, juragan bot laju itu berjaya meloloskan diri dan pemeriksaan mendapati enam lelaki dan tiga wanita dalam bot itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Siasatan awal mendapati, mereka cuba masuk secara haram ke daerah ini untuk tujuan bekerja," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali serta dikenakan tidak lebih enam sebatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain