suria

Petugas JKR Rugi RM15,000 Kereta Diparkir Depan Rumah Terbakar

KUALA TERENGGANU: Seorang petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu kerugian kira-kira RM15,000 selepas keretanya yang diletak di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Pasir Panjang di sini, terbakar.

Kejadian kira-kira 12 tengah hari itu turut menyebabkan rumah kampung yang diperbuat daripada kayu tersebut terbakar.

Noor Haidan Amran, 49, berkata beliau meletak keretanya di rumah itu pada kira-kira 10.30 pagi selepas pulang dari menghantar surat kepada rakannya dan kebakaran tersebut disedari seorang kanak-kanak, Syukur Jusoh, 11, yang bermain basikal tidak jauh dari tempat kejadian.

"Saya memang biasa meletakkan kereta di bawah rumah berkenaan, namun pagi tadi, saya rasa teragak-agak nak letak kereta di situ... Masa kejadian, saya lihat api berhampiran tayar sebelah kiri kereta dan terus mengambil air serta pasir untuk padamkan api," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Bagaimanapun, tindakan Noor Haidan ternyata sia-sia kerana api yang marak membakar keretanya telah merebak ke bahagian rumah itu.

Pegawai Bomba Tinggi Kuala Terengganu Rozali Hussin berkata sejurus menerima panggilan, dua jentera bersama 15 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran.

"Kebakaran itu telah memusnahkan 80 peratus rumah kayu berkenaan dan sebuah kereta. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain