suria

Penunggang Motosikal Disaman Atas Enam Kesalahan

KUCHING: Seorang penunggang motosikal disaman atas enam kesalahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di kawasan Masja dekat sini, malam Sabtu.

Operasi bersepadu selama enam jam merangkumi Ops Samseng Jalanan, Ops Mabuk, dan Ops Cantas/Noda diadakan di empat kawasan berbeza di sekitar Kuching, bermula jam 10 malam dan berakhir pukul 4 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad berkata antara kesalahan yang dilakukan penunggang tersebut ialah menunggang tanpa lesen, motosikal tidak mempunyai cukai jalan dan insurans, nombor plat tidak memenuhi spesifikasi dan ekzos diubahsuai.

"Secara keseluruhan sebanyak 18 buah motosikal telah dirampas dan 22 saman dikeluarkan dalam operasi di Masja," katanya kepada pemberita setelah operasi itu selesai.

Roslan berkata bagi Ops Mabuk yang diadakan di Jalan Tabuan/Jalan Song, pemeriksaan dilakukan ke atas 27 buah kereta dan tujuh motosikal, dan sebanyak tujuh saman dikeluarkan. "Tiga orang telah diuji positif alkohol dan akan didakwa di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan.

"Bagi Ops Cantas/Noda, operasi dilakukan di dua kawasan iaitu Trivillion dan Golden Triangle. Hasilnya dua pengunjung sebuah pusat hiburan di kawasan Trivillion dikesan positif dadah. Kedua-duanya akan didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Roslan berkata semua unit dalam pasukan polis IPD Kuching terlibat dalam operasi melibatkan seramai 43 pegawai dan 246 anggota semua unit seperti pengurusan, jenayah, logistik, narkotik, komersial termasuk mekanik dan pemandu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain