KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha pada Ahad menjelaskan tarikh penggulungan perbahasan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat bagi Kementerian Pengangkutan terpaksa ditukar bagi memberi laluan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKN).Kong dalam kenyataan medianya berkata ini berikutan permohonan KPWKN untuk menukar tarikh penggulungan memandangkan Timbalan Menterinya Datuk Heng Seai Kie akan tamat lantikan sebagai Senator pada 15 November ini. Sehubungan itu, katanya Heng tidak dapat melakukan penggulungan KPWKN pada 20 November dan memohon untuk menggulung pada 1 November, yang diperuntukkan kepada Kementerian Pengangkutan. "Selepas perbincangan bersama Timbalan Menteri saya (Datuk Abdul Rahim Bakri) dan atas perhubungan yang baik antara kementerian, Kementerian Pengangkutan setuju untuk membenarkan pertukaran tarikh penggulungan perbahasan Belanjawan 2013 dari 1 Nov ke 20 November 2012," katanya.Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming bahawa Kementerian Pengangkutan telah menukar tarikh penggulungan perbahasan itu tanpa memberi penjelasan sewajarnya. Selain penjelasan itu, Kong turut membidas sikap sambil lewa Nga sehingga menggunakan fakta salah apabila merujuk Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.Ini susulan dakwaan Nga bahawa Lajim tidak memberi penjelasan sewajarnya berkaitan perubahan tarikh penggulungan perbahasan itu di Parlimen baru-baru ini."Saya terperanjat apabila Sinchew Daily hari ini menerbitkan bahawa YB Nga Kor Ming tidak tahu siapa Timbalan Menteri Pengangkutan," katanya.Lajim kini hanya merupakan anggota Parlimen Beaufort selepas melepaskan jawatannya sebagai timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan apabila bertindak keluar daripada Umno Julai lepas. -BERNAMA