suria

Kementerian Kesihatan Tunggu Laporan Makmal Produk Ayam Ada Antibiotik - Liow

GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan kini menunggu laporan ujian makmal terhadap produk ayam keluaran sebuah syarikat didakwa mengandungi antibiotik Chloramphenicol, yang boleh menjejaskan kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata siasatan awal dibuat dan telah dihantar kepada makmal apabila penemuan antibiotik itu dalam daging ayam dikesan oleh pihak veterinari.

"Hanya stok yang dikenal pasti itu telah ditarik balik daripada pasaran sebagai langkah keselamatan. Saya tengah tunggu laporan untuk mendapatkan kepastian sebelum keputusan lanjut dibuat," katanya.

Beliau mengulas langkah kerajaan negeri Sarawak pada Khamis lepas mengeluarkan larangan import produk berkenaan berkuat kuasa serta-merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.

Difahamkan antibiotik itu digunakan bagi merawat jangkitan bakteria yang mampu memberi kesan sampingan kepada pengguna seperti muntah, cirit-birit dan sakit kepala.

Selepas sesi dialog bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital Pulau Pinang hari ini, Liow turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM650 juta untuk dua projek membesarkan hospital di Pulau Pinang pada tahun depan.

Beliau berkata sejumlah RM250 juta adalah untuk pembinaan wad tambahan wanita dan kanak-kanak di Hospital Pulau Pinang dan RM400 juta lagi bagi membina satu blok tambahan bertingkat di Hospital Seberang Jaya.

Katanya, blok tambahan di Hospital Seberang Jaya akan dapat mempertingkat perkhidmatan kesihatan di Pulau Pinang dengan 300 katil tambahan serta kemudahan lain seperti dewan bedah dan wad kardiologi.

Sementara itu, Liow berkata pihak hospital diminta mempertingkat perkhidmatan kaunseling kepada pesakit agar mereka yang berpenyakit kronik tidak berputus asa.

Beliau berkata ini kerana kementerian amat mengambil berat tentang tahap stres yang dihadapi pesakit.

Selain itu, tahap keselamatan di hospital turut dipertingkat seperti rondaan dan penjagaan lebih rapi kepada pesakit pada waktu malam.

Liow berkata demikian ketika mengulas langkah keselamatan oleh Kementerian Kesihatan berikutan kes pesakit terjun dari bangunan hospital.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 10 tapak di Pulau Pinang dikenal pasti untuk mewujudkan tambahan klinik 1Malaysia yang akan dilaksanakan Januari tahun depan. Di bawah Belanjawan 2013, kerajaan Persekutuan meluluskan 70 klinik 1Malaysia bagi memudahkan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan, terutama di kawasan pedalaman.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain