suria

Isteri Peniaga Balak Mati Ditembak Di Luar Kafe

SIBU: Dalam satu kejadian yang dipercayai melibatkan pembunuh upahan, isteri seorang peniaga balak maut apabila seorang lelaki melepaskan tembakan ketika pasangan itu, bersama sepasang lagi suami isteri, duduk di sebuah meja di kaki lima sebuah kafe di Jalan Pahlawan di sini tengah Sabtu.

Law Leh Kuong, 44, yang ditembak di kepala pada jarak dekat, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta kira-kira tiga jam selepas kejadian yang berlaku pada 12.10 tengah hari di luar 101 Cafe itu.

Selepas menambak mangsa, lelaki berkenaan, yang bersenjatakan senapang pam, melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Wira merah yang turut dinaiki tiga rakannya.

Suami Law, Lau Ngik Yin alias Ah Kang, 42, yang juga pengusaha pusat hiburan, cedera di leher dan belakang, manakala sepupunya, yang duduk bersama isterinya, cedera ringan.

Keempat-empat mereka duduk di sebuah meja di luar cafe berkenaan apabila penyerang tersebut tiba dengan sebuah kereta dan melepaskan tembakan ke arah mereka.

Bernama difahamkan polis sedang menyiasat kes itu yang berkemungkinan melibatkan kegiatan kongsi gelap dan judi haram.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani berkata Law meninggal dunia akibat kecederaan di kepala pada pukul 3.15 petang.

Kata beliau ketika mangsa menyertai Lau dan sepupu suaminya serta isterinya untuk makan tengah di tempat berkenaan, sebuah Proton Wira merah berhenti berhampiran mereka.

"Dua daripada empat lelaki turun dari kereta itu dan seorang daripadanya melepaskan tembakan ke arah mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain