suria

'Tracking System' Guna Biometrik Kesan Pergerakan Warga Asing

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia dalam perancangan untuk melaksanakan sistem pengesanan (tracking system) warga asing yang berada di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.

Kebanyakan warga asing menyalahgunakan pas lawatan mereka dengan menetap lebih daripada tempoh yang dibenarkan kerana mahu bekerja di negara ini.

Kebanyakkan mereka akan bekerja di restoran-restoran atau melakukan kerja-kerja haram seperti pelacuran dan sebagainya selepas tempoh had lawatan mereka berakhir.

Pelancong dan pelawat dari China dan India merupakan negara yang mempunyai jumlah pelawat paling tinggi datang ke Malaysia menggunakan visa atau pas lawatan sosial.

Menurut rekod, seramai 1.25 juta pelawat dari China dan 693,056 pelawat dari India berkunjung ke Malaysia pada tahun lepas sahaja.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, 'tracking system' ini akan menggunakan data biometrik warga asing yang direkodkan sewaktu kemasukan mereka di pintu masuk utama negara.

Sistem ini akan dapat mengesan apa saja aktiviti warga atau pelancong asing yang menggunakan pasport dan cap jari.

"Pada peringkat awal, sekiranya sistem ini dilaksanakan, kita boleh mengesan kedudukan warga asing berdasarkan aktiviti mereka yang melibatkan penggunaan data biometrik seperti pasport dan caj jari.

"Sebagai contoh, apabila mereka membuka akaun bank untuk pembayaran gaji di negara ini di mana permohonan dan pendaftaran memerlukan cap jari.

"Daripada maklumat itu, kita bukan sahaja dapat mengesan di mana mereka bekerja malah tempat tinggal mereka. Dan ini memudahkan penguatkuasaan," katanya kepada mStar Online.

Alias berkata, 'tracking system' ini bukan sahaja untuk mengesan warga asing yang bekerja di negara ini tetapi juga boleh mengesan pelawat asing menerusi pendaftaran daftar masuk (check-in) menggunakan pasport apabila mereka menginap di hotel.

"Bagaimanapun, pada masa ini belum ada peruntukan untuk mewajibkan pekerja asing membuka akaun bank di negara ini untuk pembayaran gaji oleh majikan dan tiada sistem untuk mengesan pelawat asing yang menginap di hotel.

"Oleh itu, kita akan mencadangkan supaya pembayaran gaji pekerja asing di negara ini diwajibkan disalurkan melalui bank termasuk sistem pendaftaran daftar masuk menggunakan pasport di mana kedua-dua aktiviti ini boleh dikawal selia oleh Jabatan Imigresen dari segi maklumat biometrik warga asing," katanya lagi.

Buat masa ini, satu-satunya cara untuk mengesan pelancong atau warga asing yang tinggal melebihi had tempoh yang dibenarkan ialah ketika mereka hendak keluar dari negara ini atau ketika serbuan penguatkuasaan dibuat.

Alias berkata, 'tracking system' ini adalah kesinambungan kepada sistem ‘Advanced Passenger Processing System’ (APPS) yang merupakan inisiatif utama dalam Pelan Transformasi Jabatan Imigresen fasa kedua yang dijangka akan diumumkan pada Disember ini.

Pemeriksaan sistem biometrik sudah pun dilaksanakan ketika ini di semua pintu masuk utama negara.

Alias berkata, Malaysia akan memperkenalkan APPS untuk membanteras jenayah transnasional seperti pemerdagangan orang dan penyeludupan dadah.

"APPS memeriksa latar belakang warga asing yang mahu memasuki Malaysia dari segi rekod jenayah dan senarai hitam menerusi kerjasama rangkaian seluruh dunia oleh SITA, pakar terkemuka dunia yang menyediakan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi dalam industri pengangkutan udara.

"Ini bermaksud APPS merupakan tapisan untuk warga asing sebelum memasuki Malaysia dan satu lagi tapisan menerusi sistem biometrik di pintu masuk. Kita masih memerlukan tapisan ketiga iaitu menggunakan 'tracking system'," katanya.

Beliau menambah, walaupun pada masa ini hanya pemeriksaan sistem biometrik yang dilaksanakan di pintu masuk negara bagi mengawasi pergerakan keluar masuk warga asing tetapi tiada sistem untuk menjejaki pergerakan mereka.

“Kita tidak tahu di mana mereka berada, sudah balik atau belum balik ke negara asal mereka. Mungkin juga ada yang menetap lebih masa di negara ini.

“Warga asing boleh datang ke negara ini dengan pelbagai jenis pas. Contohnya seseorang itu masuk (ke Malaysia) menggunakan pas lawatan sosial tetapi tidak keluar (dari Malaysia) selepas itu. Inilah tujuan tracking system yang hendak kita perkenalkan,” katanya lagi.

Alias bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk menentukan bilakah sistem ini akan dilaksanakan kerana ia masih dalam perancangan.

Ketika ditanya adakah tracking system akan diperkenalkan sebaik sahaja APPS dilaksanakan nanti, Alias berkata: “Semuanya masih dalam perancangan tetapi pelaksanaannya akan dilakukan secara komprehensif.”

Menurut Alias, ketiga-ketiga elemen (APPS-Sistem Biometrik-Tracking System) bertujuan untuk memperketat keselamatan negara mengikut sistem serta pembinaan keupayaan bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan kualiti perkhidmatan Jabatan Imigresen.

“Langkah ini bagi menangani masalah jenayah transnasional yang kini menjadi isu utama secara global yang melibatkan pergerakan orang.

“Keadaan itu melibatkan hal-hal imigresen. Kita harus menanganinya selari dengan landskap global baru,” katanya.

Beliau menambah, gabungan pelaksanaan itu diharap dapat membantu menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan selamat serta berpotensi dari segi ekonomi, pelaburan dan pelancongan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain