Sidang Akhbar Bukan Bertujuan Pertikai Prerogatif Sultan - Karpal Singh - Semasa | mStar

Sidang Akhbar Bukan Bertujuan Pertikai Prerogatif Sultan - Karpal Singh

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat bahawa apa yang beliau katakan pada sidang akhbar di pejabatnya berhubung keadaan politik di Perak tiga tahun lepas, bukan bertujuan untuk mempertikai prerogatif sultan.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata tujuan beliau hanyalah untuk menyuarakan pandangannya dari segi undang-undang dan cara Sultan Perak melaksanakan prerogatif baginda dalam menangani krisis berkenaan.

Segala apa yang dinyatakan kepada pemberita pada pukul 12.30 tengah hari pada 6 Januari itu bukan bersifat menghasut atau sebarang kesalahan lain, katanya ketika menjawab soalan peguam Gobind Singh Deo.

Karpal Singh memberitahu Hakim Datuk Azman Abdullah bahawa untuk menyokong pendapatnya tentang perkara itu, beliau menyediakan kenyataan akhbar secara bertulis dan membuat rujukan kepada beberapa kes undang-undang.

"Ia merupakan sidang akhbar penting berkaitan krisis politik di Perak dan adalah menjadi tugas saya, sebagai Anggota Parlimen, untuk memberi pendapat dari segi undang-undang tentang keadaan ketika itu, di mana penyelesaian terbaik bagi perkara berkenaan ialah membubarkan dewan undangan negeri," katanya.

Bagaimanapun, kata Karpal Singh, semasa sesi soal jawab dengan wartawan, beliau tidak mempersoalkan prerogatif sultan, tetapi menyatakan bahawa sultan terkhilaf apabila baginda mempersoalkan anggota dewan undangan negeri.

Menjawab soalan Gobind Singh apakah yang mendorongnya atau apakah yang terkandung dalam fikirannya ketika beliau membuat keputusan untuk memanggil sidang akhbar itu, Karpal Singh berkata ia berkaitan ketertinggian Perlembagaan Persekutuan.

"Di negara ini, parlimen pun bukan yang paling tinggi, hanya perlembagaan yang mempunyai kedudukan paling tinggi, bukan yang lain," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azman akan disambung Khamis depan.

Pada 11 Jun 2010, Karpal Singh dilepaskan dan dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada tuduhan mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di pejabat firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur, pada 6 Februari 2009.

Bagaimanapun, beliau diperintah membela diri berikutan rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Karpal Singh, 72, didakwa berkata pemecatan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ke jawatan itu oleh Sultan Perak, boleh dipertikai di mahkamah. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

Artikel Lain

Anda boros? Apa kata cuba 5 cara ini