Penyelenggaraan Kurang Baik Mungkin Punca Gangguan Bekalan Elektrik Di KKIA - Semasa | mStar

Penyelenggaraan Kurang Baik Mungkin Punca Gangguan Bekalan Elektrik Di KKIA

KOTA KINABALU: Penyelenggaraan kurang baik mungkin satu daripada faktor yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) minggu lepas, kata bekas Pengurus Besar Kanan (Operasi) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Ir Peter Lajumin.

Menegaskan kejadian itu bukan salah kerajaan sepenuhnya, terutamanya kerajaan negeri Sabah, dan menurutnya bagi fasiliti amat kritikal seperti landasan di KKIA, pemeriksaan atau penyenggaraan rutin adalah amat penting, atau sekurang-kurangnya dilengkapi sistem sokongan.

"Sistem sokongan itu boleh dalam bentuk kabel tambahan di mana apabila satu kabel mengalami kerosakan, satu lagi boleh mengambil alih. Ia perlu direka bentuk mengikut standard antarabangsa kerana Kota Kinabalu ialah lapangan terbang antarabangsa.

"Berdasarkan maklumat yang saya kumpulkan, termasuk daripada SESB, insiden ini bukan salah SESB, dan saya fikir ia lebih kepada masalah dalaman (kabel) di KKIA," kata Lajumin kepada Bernama di sini, Jumaat semasa ditanya pandangan peribadi beliau mengenai apakah masalah yang mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik di KKIA pada Khamis dan Jumaat lepas.

"Bagi saya, saya lihat banyak aktiviti dijalankan di lapangan terbang (KKIA), jadi kemungkinan kabel rosak semasa kerja pembinaan yang sedang dijalankan di kawasan itu, menjadikannya lebih kritikal untuk pemeriksaan rutin bagi semua aktiviti yang sedang dijalankan di KKIA.

"Mungkin berlaku pergerakan tanah semasa pembinaan dan jika terdapat sambungan pada kabel, pergerakan tanah mungkin menjejaskan kabel berkenaan, terutamanya yang di bawah tanah, contohnya semasa kerja mengorek dan menggali. Sebab itu kenapa perlu dilakukan pemeriksaan secara tetap...sama ada ini telah dijalankan hanya staf Malaysia Airports yang tahu," kata Lajumin.

Kerajaan Persekutuan pada Selasa memohon maaf kepada penumpang yang terkandas akibat gangguan bekalan elektrik itu dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memandang serius perkara itu dan mahu siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. Kabinet negeri Sabah turut bimbang dan mahu Malaysia Airports segera menyelesaikan masalah di KKIA.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dipetik sebagai berkata Kabinet negeri juga mahu MAB mengambil langkah proaktif untuk memastikan kejadian itu tidak berulang.

Malaysia Airports berkata semasa gangguan bekalan elektrik itu, sebanyak 51 penerbangan terpaksa dilencongkan, ditunda atau dibatalkan selama dua malam, menjejaskan kira-kira 6,000 penumpang.

Keadaan pulih seperti biasa pada 9.30 malam, Jumaat lepas berikutan pemasangan kabel baharu dan pencahayaan serta alat sokongan bekalan kuasa elektrik mudah alih. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

Artikel Lain