suria

Kes Culik Nayati: Mahkamah Tetapkan 15 April Tarikh Bicara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat menetapkan lima hari mulai 15 April bagi perbicaraan ke atas tiga orang sahabat yang dituduh menculik seorang kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, untuk mendapatkan wang tebusan RM300,000, pada April lepas.

Timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi, Noor Aini Yusof juga menetapkan 4 Disember sebagai tarikh untuk pengurusan kes itu.

Chong Tat Siong, 23, seorang yang bekerja sendiri, penjual telefon bimbit Foong Khar Fai, 19, penganggur Lee Phak Seng, 23, dan seorang lagi yang masih bebas, dituduh menculik kanak-kanak berkenaan di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, pukul 7.30 pagi pada 27 April.

Kesemua mereka menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan. Chong dan Foong diwakili oleh Rejinder Singh, manakala K.T. Wong membela Lee.

Nayati dibebaskan oleh penculiknya di kawasan rehat dan rawat Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS pada 7.55 pagi 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, di sini.

Pada 22 Mei, ketiga-tiga mereka dituduh di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain