suria

Kerajaan Akan Pastikan Budaya Masyarakat Minoriti Dipertahan - Nazri

PASIR MAS: Kerajaan akan memastikan budaya masyarakat minoriti di negara ini terus dipertahankan agar ia terus kekal sebagai warisan negara pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sekiranya budaya masyarakat tersebut tidak dipelihara dengan baik ia boleh tenggelam dalam budaya masyarakat yang lebih besar.

"Jadi ini satu usaha kita untuk memastikan budaya masyarakat ini terus berkekalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Loy Krathong Peringkat Negeri Kelantan di Wat Uttamaram di sini, malam Jumaat.

Pelbagai acara kebudayaan masyarakat Siam dipertontonkan kepada kira-kira 5,000 orang, termasuk pertandingan ratu Loy Krathong dan persembahan tarian Loy Krathong.

Pada pesta itu, bunga-bunga krathong (bunga teratai yang diperbuat daripada kertas berwarna-warni) dihanyutkan di sungai.

Mengikut kepercayaan masyarakat Siam, ia bertujuan menghilangkan perkara buruk yang boleh menimpa diri seseorang.

Mohamed Nazri berkata, Loy Krathong merupakan perayaan masyarakat Siam yang diiktiraf oleh kerajaan dan sudah dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara.

"Kita berharap dengan adanya sokongan daripada kerajaan kepada budaya etnik Siam ini, ia akan menjadi satu acara yang berterusan di Wat ini dan berharap ia akan menjadi tumpuan kepada pelancong yang datang ke negeri Kelantan pada tarikh ini," katanya.

Beliau berkata, kini kira-kira 60,000 daripada 28 juta rakyat Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang berketurunan Siam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain