suria

Tuduhan Bafia Terhadap Rafizi Perlu Dikekalkan

PETALING JAYA: Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Pengerusi Eksekutif Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berkata nadi perbankan negara akan musnah sekiranya alasan untuk melindungi pemberi maklumat diberikan bagi melindungi pesalah.

Beliau berkata di bawah Akta Perlindungan Maklumat (WPA) 2010, pemberi maklumat tulen harus melaporkan apa-apa yang difikirnya sepadan dengan kesalahan jenayah atau lain-lain kesalahan kepada pihak berkuasa yang berkenaan terlebih dahulu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

"Dengan berbuat demikian, kita mempunyai situasi di mana pemberi maklumat adalah tulen dan integriti BAFIA akan dilindungi.

"Walau bagaimanapun, jika pemberi maklumat dibenarkan mengumumkan kepada orang awam mengenai maklumat sulit awam yang dilindungi di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 (Bafia) tanpa terlebih dahulu merujuk kepada agensi-agensi yang berkaitan, ia akan mengundang huru-hara dalam sistem kewangan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mengesahkan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Mohd Rafizi Ramli tidak dilindungi di bawah WPA sebaliknya beliau dilabelkan sebagai peniup trumpet kerana telah menghebahkan maklumat sulit perbankan dalam isu Perbadanan Fidlot Nasional (PFN) kepada pengetahuan umum.

Mengulas lanjut, Shafee berkata Rafizi telah mengedarkan maklumat bukan sahaja satu tetapi 21 akaun bank.

"Motif beliau adalah untuk menunjukkan bahawa terdapat perbuatan salahlaku di dalam akaun-akaun tersebut mengenai pinjaman yang diambil bagi lapan lot pejabat di KL Eco City.

"Dalam usaha Rafizi untuk mendramakan fintah-fitnahnya, dokumen bank yang telah beliau perolehi dengan cara yang salah dan menyalahi undang-undang telah melanggar peruntukkan Bafia," katanya.

Hal ini kerana, Shafee berkata Rafizi telah memperolehi dokumen bank tersebut tanpa kebenaran pemilik akaun, bank tersebut mahupun kebenaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Justeru, beliau menegaskan agar tuduhan Bafia perlu dikekalkan.

"Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia seharusnya tidak terpengaruh dengan retorik politik yang dimainkan, malah perlu menyiasat Rafizi terhadap perlanggaran mutlak Bafia yang telah beliau lakukan.

"Sistem perbankan dan kewangan Malaysia tidak perlu dikompromi bagi drama-drama politik dan sensasi ini.

"Ini bukan sahaja pandangan kami, malah pandangan-pandangan ketua-ketua eksekutif dari pelbagai bank termasuk pengerusi Persatuan Bank-bank Malaysia yang telah mengeluarkan kenyataan di dalam laporan media untuk menekankan kepentingan kesulitan dan kerahsiaan klient perlu dijaga," katanya.

Shafee menegaskan bahawa Bafia adalah undang-undang berkanun yang diperkenalkan untuk melindungi pelanggan semua bank.

"Jika Bafia dibenarkan untuk dilanggar mahupun dicabar dengan alasan melindugi pemberi maklumat, maka nadi perbankan akan musnah," katanya.

Pada 1 Ogos lalu, Rafizi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana mendedahkan butiran perbankan berkaitan dengan skandal NFCorp.

Rafizi didakwa mendedahkan maklumat sulit dan rahsia perbankan NFCorp milik Dr Salleh.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit di bawah Bafia

Artikel Lain