suria

Tentera Pantau Pergerakan Militan Cuba Jadikan Malaysia Transit

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memantau pergerakan militan dari negara jiran bagi mengelak mereka menjadikan Malaysia sebagai tempat pelindungan atau transit kumpulan pengganas, kata Panglimanya Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Misalnya, kata beliau, pasukan tentera bekerjasama dengan tentera Thailand memantau kumpulan yang disyaki pengganas di selatan negara itu daripada memasuki negara ini untuk mendapatkan perlindungan.

"ATM memantau secara menyeluruh melalui perkongsian dan pertukaran maklumat dengan tentera Thailand di sempadan Selatan Thai. Kami akan pantau orang tertentu (pengganas) daripada menjadikan Malaysia sebagai negara transit pengganas," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis kempen derma darah sempena hari ATM ke-79 di Kementerian Pertahanan, di sini Jumaat.

Beliau mengulas berhubung serangan keganasan di Selatan Thailand yang mengakibatkan empat terbunuh dan sembilan cedera dalam tempoh 24 jam.

Zulkifeli turut memberi jaminan pergolakan yang berlaku di selatan Thailand tidak akan memberi ancaman kepada sempadan negara, dan rakyat di negara ini tidak perlu berasa bimbang dengan keadaan di sana.

Beliau berkata Angkatan Tentera sentiasa bersiap-siaga terutama membabitkan soal ancaman dan keselamatan di kawasan sempadan dengan melakukan rondaan serta kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kami sentiasa berdamping dengan PDRM, ini penting bagi kita meningkatkan tahap pemantauan dan perisikan kita," katanya.

Beliau turut menolak cadangan untuk menambah bilangan anggota tentera di kawasan sempadan kerana bagi ATM kekuatan anggota tentera yang berkawal di kawasan sempadan adalah memadai dan tidak perlu ditingkatkan buat masa ini. - BERNAMA

Artikel Lain