suria

P.Pinang Tingkat Pendapatan Isi Rumah Kepada RM770 Basmi Kemiskinan

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia meningkatkan pendapatan isi rumah kepada sekurang-kurangnya RM770 tahun depan untuk menjadi negeri pertama membasmi kemiskinan di negara ini.

Ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2013 di dewan undangan negeri, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan akan menambah pendapatan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM770.

"Menurut Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, UKM, dalam satu laporan pada tahun 2011, penunjuk garis kemiskinan di Semenanjung Malaysia adalah RM763 sebulan.

"Tahun depan, kerajaan akan meningkatkan pendapatan minimum isi rumah di Pulau Pinang daripada RM600 kepada RM770 sebulan," katanya.

Beliau menambah program itu akan melibatkan jumlah kira-kira RM20 juta setahun, dan langkah ini akan membasmi kemiskinan di Pulau Pinang.

Beliau menambah kerajaan, pada tahun 2009 telah menjadi yang pertama di negara ini membasmi kemiskinan tegar dengan meningkatkan pendapatan isi rumah minimum daripada RM500 hingga RM600.

Lim juga mengumumkan tema bajet "AES" (Agenda Ekonomi Saksama) atau 'Equitable Economic Agenda'.

Beliau berkata terdapat beberapa inisiatif termasuklah merangsang sektor pelaburan dan perindustrian, meningkatkan warisan dan sektor pelancongan, mengukuhkan industri halal, meningkatkan kualiti kemudahan awam dan infrastruktur, memperbaiki pengurusan trafik, menyediakan kemudahan utiliti dan membangunkan lagi sektor pertanian dan sektor ternakan.

"Kerajaan mencadangkan sejumlah RM970.56 juta untuk operasi bajet 2013.

"Terdapat peningkatan RM370.96 juta pada 2012 berbanding bajet RM599.6 juta tahun lepas," katanya.

Bagi peruntukan pembangunan, Lim berkata sejumlah RM363.4 juta telah ditetapkan, membawa jumlah keseluruhan kepada RM1.13 bilion.

"Untuk 2013, kerajaan menganggarkan mengumpul hasil sebanyak RM708.52 juta," katanya.

Beliau berkata ini adalah bajet kelima oleh kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat dan akan menjadi yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang.

Artikel Lain