suria

Perbicaraan Kes Penculikan Nayati Ditetapkan Pada 15 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan lima hari bermula 15 April terhadap sekumpulan tiga rakan yang menghadapi pertuduhan menculik budak lelaki Belanda, Nayati Moodliar pada April lepas.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noor Aini Yusof juga menetapkan 4 Disember untuk pengurusan kes.

Chong Tat Siong, 23, yang bekerja sendiri, Foong Khar Fai, 19, penjual telefon bimbit dan Lee Phak Seng, 23, yang menganggur telah didakwa dengan pertuduhan menculik budak itu dengan niat memeras ugut RM300,000 wang tebusan daripada ibu bapa budak tersebut.

Kesalahan itu didakwa telah dilakukan di Jalan Kiara 1, Mont Kiara di sini pada kira-kira pukul 7.30 pagi, 27 April.

Kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan kemungkinan sebatan jika terlepas hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Nayati sedang dalam perjalanan ke sekolahnya, di Mont Kiara International SDchool berhampiran rumahnya pada 27 April apabila dia telah diculik oleh dua lelaki berkereta hitam.

Dia telah dibebaskan di kawasan rehat dan rawat di Sungai Buloh pada 3 Mei.

Pada 22 Mei, ketiga-tiga mereka dihadapkan ke hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin untuk menghadapi pertuduhan terhadap mereka.

Tiada pengakuan direkodkan.

Pada 28 September, majistret Erry Shahriman memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Artikel Lain